Salah patut jaring lebih banyak gol -- Klopp

Oleh Staff Writer 5 Disember 2018 1044
Salah patut jaring lebih banyak gol  -- Klopp
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, mengakui Mohamed Salah sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol musim ini tatkala bintang Mesir itu bergelut untuk menyamai pencapaian cemerlang peribadi musim lalu.

Salah menghasilkan 44 gol dalam semua kejohanan musim lalu dan walaupun catatan sembilan gol hasil daripada 20 perlawanan musim ini adalah sesuatu yang dikira baik, ia tidak mencerminkan kecemerlangannya bagi saingan 2017/18.

Klopp jelas kecewa dengan  kritikan yang dilemparkan kepada bekas penggempur AS Roma itu tetapi mengakui Salah seharusnya mencatat lebih banyak gol berdasarkan deretan peluang yang dimiliki setakat ini.

"Bagaimana orang ramai menilai, saya tidak terkesan dengannya," kata Klopp.

"Ini adalah dunia bebas dan semua orang berhak melontarkan pendapat.

"Segalanya bagus. Saya rasa dia telah menyumbat tujuh gol liga setakat ini. Siapa yang meraih gol lebih banyak? Pierre-Emerick Aubameyang? Dia menyumbat dua gol dalam aksi terakhir, jadi tiada siapa yang menyumbat lebih 15 gol.

"Inilah musim 2018/19 dan kami harus memulakan semula. Anda tidak boleh mengambil kesempatan dan melihat perkara itu akan jadi mudah.

"Dia sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol berdasarkan peluang yang diraih tetapi tiada apa yang boleh diperkatakan.

"Hanya cuba dan persiapkan diri anda untuk setiap aksi. Cuba lakukan yang terbaik dan musim anda akan dinilai selepas tamat dan bukan ketika ia berjalan. Anda melakukannya tetapi bagi kami, itu tidak penting.

"Selagi pemain cergas, sihat, fokus dan bersedia untuk berlatih bersungguh-sungguh, saya sudah gembira."

Selepas mencatat kemenangan dramatik 1-0 ke atas Everton hujung minggu lalu, Liverpool bakal bertandang ke Burnley awal pagi esok untuk saingan liga.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen