LIVERPOOL 2 MAN UNITED 0

Mohamed Salah berseloroh bahawa Liverpool menewaskan Manchester United 2-0 awal pagi tadi kerana dia sudah kembali daripada kecederaan.

Pemain kebangsaan Mesir, Salah, terlepas keputusan seri 1-1 di Old Trafford -- satu-satunya perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang gagal dimenangi Liverpool musim ini -- gara-gara kecederaan pergelangan kaki.

Menjelang perlawanan timbal balik di Anfield itu, pemain berusia 27 tahun tersebut secara mengusik mencadangkan skuad kendalian Jurgen Klopp itu gagal merakamkan kemenangan kerana ketiadaan dirinya.

Liverpool kini mendahului saingan dengan berkelebihan 16 mata ke atas pencabar terdekat, Manchester City, di samping memiliki satu perlawanan dalam tangan, selepas Salah mengutip satu hantaran jauh Alisson dalam waktu pemberhentian untuk menyudahkan jaringan -- menambah kepada gol pembukaan Virgil van Dijk pada minit ke-14.

"Seperti yang anda dapat lihat hari ini, saya telah kembali daripada kecederaan, jadi kami menang perlawanan ini. Saya sangat gembira buat pasukan sekarang," kata Salah kepada Sky Sports. "Kami menikmati saat ini dan berharap menamatkan saingan seperti ini."

"Saya menerima hantaran daripada Alisson, tiada pemain lain yang mampu mengumpan bola kepada saya, tetapi saya sangat gembira dengan keputusan ini. Itu adalah perkara yang paling penting."

Liverpool terlepas gelaran EPL dengan perbezaan satu mata dengan City musim lalu, dengan kekalahan kepada skuad bimbingan Pep Guardiola itu pada Januari 2019, disusuli satu rentetan empat keputusan seri dalam enam perlawanan liga.

Enggan menyaksikan perkara sama berulang, Salah menggesa rakan sepasukan untuk mengekalkan persembahan yang sama bagi setiap perlawanan.

"Saya berasakan kami perlu fokus dalam setiap perlawanan, kami tidak memikirkan sudah memenangi EPL.

"Kami perlu mengulangi persembahan yang sama dalam setiap perlawanan, ia adalah cara untuk kami bergelar juara. Kami bergelut dalam tempoh ini musim lalu, jadi kami perlu kekal tenang dan fokus dalam setiap perlawanan."



Editor: Ammar Hakim