Mohamed Salah memenangi Anugerah Puskas 2018 menerusi gerakan gol solo mengagumkan untuk Liverpool dalam aksi 'derby' Merseyside menentang Everton.

Pemain antarabangsa Mesir itu meraih kemenangan tersebut dengan mengetepikan penyerang Real Madrid, Gareth Bale, yang melakukan sepakan gunting sensasi dalam final Liga Juara-Juara (UCL).

Bekas rakan sepasukan Bale, Cristiano Ronaldo, dan bintang Barcelona, Lionel Messi, juga berada dalam senarai pendek tetapi terpaksa akur dengan Salah, yang meledak jaringan ketika mengikat kedudukan dengan seteru Liverpool itu.

Pencalonan untuk anugerah itu termasuk gol Piala Dunia 2018 yang dicetak oleh pemain Russia, Denis Cheryshev, Benjamin Pavard dari Perancis dan Ricardo Quaresma dari Portugal.

Anugerah Puskas tahun lalu dimenangi oleh Olivier Giroud yang melancarkan 'tendangan kala jengking' yang memukau untuk Arsenal ketika menentang Crystal Palace dalam aksi Liga Perdana.

James Rodriguez, Zlatan Ibrahimovic dan Neymar adalah antara bintang yang pernah meraih Anugerah Puskas dalam kerjaya mereka.

Sementara itu, rakan sepasukannya di Liverpool, James Milner, berseloroh mengenai kejayaan Salah itu yang meledak 44 gol dalam kesemua aksi kempen lalu dengan berkata di Twittter: "Tahniah Mohamed Saleh atas gol ketujuhnya musim lalu yang diangkat sebagai gol terbaik tahunan."