Mohamed Salah meluahkan kegembiraannya dan berbangga kerana berjaya memecahkan rekod Liverpool selepas menamatkan kemarau jaringan dalam aksi Liga Perdana Inggeris berdepan Southampton, awal pagi tadi.

Salah memastikan Liverpool mendahului permainan ketika perlawanan berbaki 10 minit di Stadium St Mary sebelum Jordan Henderson menambah satu lagi jaringan untuk memastikan kemenangan 3-1.

Kemenangan itu melonjakkan Liverpool kembali ke persada EPL dengan kelebihan dua mata, namun penyandang juara, Manchester City, memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Dengan jaringan pertamanya selepas sembilan perlawanan, Salah menjadi pemain terpantas Liverpool untuk meledak 50 gol dalam saingan EPL.

Jaringan tersebut ternyata melegakan Salah, yang sangat berbangga kerana berjaya menemui sentuhannya.

"Saya berasakan nombor 50 buat Liverpool dalam EPL sangat istimewa," kata Salah.

"Selepas sembilan perlawanan, saya sangat gembira dan berbangga kerana memastikan tiga mata buat Liverpool."

Pertukaran yang dilakukan oleh Jurgen Klopp berhasil, dengan kehadiran James Milner dan Henderson memainkan peranan penting untuk memastikan kemenangan Liverpool.

"Mencipta impak merupakan tujuan utama kami diturunkan. Kehadiran saya dan Milner berjaya membantu pasukan. Ini merupakan kemenangan yang penting buat pasukan," kata Henderson.

Virgil van Dijk menempuhi separuh masa pertama yang goyah dalam penampilan pertamanya untuk berdepan bekas kelabnya itu tetapi berasakan Liverpool telah berjaya mengatasi tekanan beraksi di Stadium St Mary.

"Perlawanan semakin berkurangan, tiada ruang untuk kesilapan. Kami mahu menang setiap baki perlawanan," kata Van Dijk.