Salah dinobat Pemain Terbaik PFA

Oleh Staff Writer 23 April 2018 6616
Salah dinobat Pemain Terbaik PFA
Mohamed Salah memenangi anugerah Pemain Terbaik Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA) selepas mempamerkan aksi yang penuh cemerlang bersama Liverpool sepanjang musim ini.

Penyerang kebangsaan Mesir itu meledak 31 gol dalam 33 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak berhijrah dari Roma, Jun tahun lalu.

Dengan berbaki tiga perlawanan -- berdepan Stoke City, Chelsea dan Brighton and Hove Albion -- Salah berada di landasan terbaik untuk mengatasi rekod Alan Shearer, Cristiano Ronaldo dan bekas pemain Liverpool, Luis Suarez.

Pemain berusia 25 tahun itu mengetepikan Kevin De Bruyne untuk merangkul anugerah itu, dengan perancang kelahiran Belgium itu menjadi nadi kejayaan Manchester City musim ini. Penyerang Tottenham, Harry Kane menghuni tangga ketiga.

"Ia merupakan satu kebanggaan diangkat sebagai Pemain Terbaik PFA, terutama sekali ia diundi oleh pemain-pemain," kata Salah.

"Saya masih mengejar jaringan untuk memecahkan rekod dan sangat teruja mengenainya. Saya tidak sabar untuk mengharungi baki tiga perlawanan ini," katanya.

De Bruyne mengesahkan dia mengundi untuk Salah, penjaring 41 gol dalam semua kejohanan untuk Liverpool -- yang bakal berdepan Roma dalam aksi separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) di Anfield.

Bulan ini juga menyaksikan Salah muncul sebagai pemain pertama dalam sejarah EPL memenangi anugerah terbanyak Pemain Terbaik Bulanan dalam satu musim.

De Bruyne tidak mengakhiri musim ini dengan tangan kosong kerana meraih anugerah terbaru, iaitu Perancang Terbaik EPL, selepas melakukan bantuan jaringan terbanyak.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen