Louis Saha memuji Sir Alex Ferguson sambil berpendapat legenda itu berjaya sebagai seorang pengurus bola sepak berdasarkan pendekatannya terhadap orang ramai.

Ferguson, yang sedang menjalani proses pemulihan susulan pembedahan yang dilalui akibat pendarahan otak pada awal bulan ini, mengundang banyak reaksi positif sebagai tanda sokongan terhadapnya.

Saha memenangi dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris di bawah bimbingan Ferguson ketika di United dan menjadi sebahagian daripada skuad yang memenangi Liga Juara-Juara Eropah musim 2007/08.

Bekas penyerang Perancis itu memberikan pendapat terhadap faktor yang mendorong Ferguson mampu mencipta satu dinasti di Old Trafford, memenangi 13 trofi liga, lima Piala FA dan dua Liga Juara-Juara Eropah dalam tempoh 26 tahun.

"Saya memiliki pelbagai memori. Dia seorang individu yang hebat," kata Saha kepada Omnisport.

"Pada jam 6 pagi, dia akan bersalaman dengan semua pekerjanya, mengingati setiap nama dan kisah mereka.

"Dia sentiasa ada untuk menaikkan saya sewaktu berada dalam tempoh sukar akibat kecederaan, memberikan kata-kata yang diperlukan. Ferguson membuatkan anda faham erti hidup.

"Sesetengah perkara yang diucapkan menunjukkan dirinya yang kompetitif tetapi turut memahami erti hidup secara mendalam dan bukan sekadar membawa anda ke dalam pasukan atas sebab menendang bola dan menjaringkan gol.

"Kita sedang bercakap tentang individu yang sentiasa menampilkan tanggungjawab, membantu anda ketika susah. Ia bukan tentang bola sepak tetapi kemanusiaan. Itu adalah sifatnya.

"Ferguson adalah seorang pahlawan kerana matlamat yang dimiliki. Dia mengambil risiko dan mahu mencipta sesuatu, memberikan kebahagiaan kepada semua. Itu yang penting dalam pasukan ini," katanya lagi.