Penjaring terbaik skuad kebangsaan England, Wayne Rooney mengumumkan persaraannya daripada bola sepak antarabangsa.

Penyerang Everton itu, yang telah membuat 119 penampilan bersama England, meledak 53 gol sejak membuat penampilan sulung pada Februari 2003, memecahkan rekod 49 gol Bobby Charlton pada September 2015.

Rooney dilantik sebagai kapten tetap bagi menggantikan Steven Gerrard selepas tamatnya saingan Piala Dunia 2014.

Dia beraksi kali terakhir untuk England ketika bertemu Scotland pada November 2016 dan tidak menjaringkan sebarang gol selepas mereka disingkirkan Iceland pada pusingan kalah mati Euro 2016.

Rooney kini telah menjaringkan dua gol dalam dua aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), sekaligus menjadikannya gol ke-200 dalam saingan itu sejak kembali ke Everton dari Manchester United.

Tetapi dia telah membuat keputusan untuk memberikan tumpuan kepada kariernya bersama kelab dan ia telah diambil kurang daripada setahun sebelum Piala Dunia 2018, yang dijangka menjadi kejohanan antarabangsa terakhirnya.

"Saya telah menerima panggilan daripada Gareth Southgate minggu ini dan beliau memberitahu kepada saya untuk kembali menyertai skuad England untuk aksi-aksi akan datang. Saya sangat menghargainya," kata Rooney.

"Bagaimanapun, selepas berfikir lama dan panjang, saya memberitahu kepada Southgate bahawa saya telah mengambil keputusan untuk bersara daripada saingan antarabangsa. Ia merupakan satu keputusan yang sukar diambil.

"Beraksi untuk England dianggap adalah sesuatu yang istimewa buat saya. Setiap kali saya dipilih untuk bermain atau menjadi kapten, ia adalah keistimewaan dan saya mahu mengucapkan terima kasih kepada setiap orang yang membantu saya. Tetapi saya percaya sudah sampai masa untuk saya mengundurkan diri.

"Meninggalkan Manchester United merupakan satu keputusan yang sukar tetapi saya menyedari bahawa ia adalah keputusan terbaik untuk kembali ke Everton. Saya mahu meletakkan segala tenaga saya untuk membantu pasukan ini meraih kejayaan.

"Saya akan sentiasa menjadi seorang peminat tegar pasukan England.

"Saya berharap pemain-pemain baru di bawah bimbingan Southgate mampu meraih kejayaan yang lebih baik pada masa akan datang."