Rodri jelaskan sebab sertai Man City

Oleh Staff Writer 5 Julai 2019 4508
Rodri jelaskan sebab sertai Man City
Rodri meluahkan rasa cintanya kepada Manchester City dengan menganggap pasukan barunya itu telah mengubah landskap bola sepak di England untuk menjadi pasukan yang lebih menarik berbanding seteru lain.

City mengumumkan kedatangan Rodri menerusi rekod perpindahan tertinggi dengan kontrak lima tahun selepas menebus klausa pelepasan yang dilaporkan bernilai €70 juta (RM326.4 juta) daripada Atletico Madrid.

Sebelum ini, pemain itu turut dikaitkan dengan Manchester United dan juara Bundesliga, Bayern Munich, namun pemain kebangsaan Sepanyol itu berkata menyertai skuad kendalian Pep Guardiola itu merupakan keputusan yang mudah untuk dilakukan.

Ditanya mengapa dia menganggap City pasukan yang lebih menarik berbanding United, Rodri memberitahu wartawan: "Mungkin mereka sudah mengubah cerita itu. Saya rasa City sepanjang lima ke enam tahun lalu telah mengubah cerita bola sepak di sini, bukan sahaja di Manchester tetapi di England.

"Saya bukan mencari pasukan atau kelab. Saya mencari cabaran yang hebat dan disebabkan itu saya berada di sini.

"Saya sukakan bandar ini, saya sukakan Manchester.

"Saya ada bercakap dengan seseorang di sini dan saya rasa ia sudah menjadi semakin biru (warna City).

"Saya memilih kelab ini disebabkan cabaran kerana sepanjang dua tahun ini, mereka telah memenangi banyak perkara.

"Pasukan ini sentiasa berkembang setiap tahun.

"Bagi saya, tiada pilihan lain selepas mengetahui City berminat untuk mendapatkan saya.

"Ia amat jelas untuk saya memilih untuk berada di sini.

"Bagi saya, ia langkah yang bagus.

"Sudah pasti terdapat pasukan lain yang berminat. Saya berbangga dengan perkara itu.

"Saya sudah membuat keputusan yang tepat.

"Ia adalah tempat yang saya mahukan," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen