Pengendali Leicester City, Brendan Rodgers, gembira melihat potensi dalam pasukannya walaupun tewas 2-1 di tangan Watford semalam.

Andre Gray masuk selaku pemain gantian untuk memberikan The Hornets kemenangan pada minit ke-92 dalam aksi pertama The Foxes di bawah bimbingan Rodgers yang menyertai Leicester daripada Celtic awal minggu lalu.

Jaringan Jamie Vardy dilihat mampu memberi pelawat satu mata di Vicarage Road selepas memadamkan gol pembukaan lawan menerusi tandukan Troy Deeney pada minit ke-15.

Namun, selepas Kasper Schmeichel gagal mengeluarkan bola dengan kemas, Deeeney membuka ruang buat Gray dan pemain gantian itu menewaskan penjaga gol Leicester itu dalam masa kecederaan.

Walaupun mengakui pasukannya perlu belajar daripada kekalahan itu, Rodgers tetap yakin dengan kejayaan yang mampu dicapai pasukannya.

"Saya mempunyai idea bernas sewaktu latihan dan mula berfikir apa yang perlu dilakukan pada musim panas nanti. Namun, itu perkara akan datang dan saya mahu bekerja dengan pemain yang kami ada," ujarnya.

"Ia adalah kelompok pemain yang bagus dan sentiasa inginkan kejayaan, memiliki semangat juang dan benar-benar mahu belajar.

"Saya memberitahu mereka bahawa walaupun mengalami kekalahan, pemain saya melalui minggu yang baik sewaktu latihan dan mereka memandang serius apa yang telah kami bincang.

"Kami tahu seluruh pasukan perlu meningkatkan prestasi, banyak perkara perlu diperbaiki tetapi terdapat banyak potensi dalam pasukan.

"Terdapat perkembangan dan kami akan mempersiapkan diri untuk menentang Fulham di laman sendiri selepas ini."