Pengurus Celtic, Brendan Rodgers, terkejut apabila Steven Gerrard dinamakan sebagai calon utama untuk mengisi kekosongan pengurus di Rangers.

Gerrard, yang pernah beraksi di bawah kendalian Rodgers dalam tempoh tiga tahun di Anfield, disebut-sebut sebagai calon yang tidak disangka-sangka untuk mengendalikan Ibrox musim depan bagi menggantikan pemangku jurulatih, Graeme Murty.

Bekas ketua pasukan England itu sedang membimbing pasukan bawah 19 tahun Liverpool selepas menggantung but pada 2016.

Rodgers mengakui bekas pemain berusia 37 tahun itu sentiasa mempunyai keinginan untuk menjadi pengurus, namun tidak sangka berpotensi untuk menghadapinya dalam perseteruan Old Firm pada masa depan.

"Saya agak terkejut sebaik mengetahuinya," kata Rodgers dalam sidang akhbar menjelang pertembungan dengan Rangers esok, dengan Celtic berpeluang mengesahkan gelaran juara Liga Perdana Scotland.

"Jika spekulasi itu benar, maka Stevie mungkin berasakan ia adalah kelab yang tepat.

"Dia sentiasa mahu menjadi pengurus, saya menyedarinya semasa bekerjasama rapat dengannya di Liverpool, ia sesuatu yang dia sentiasa mahu lakukan.

"Sepanjang hidupnya di Liverpool dan sebagai ketua pasukan England, dia sentiasa menggalas harapan," ujarnya.