Brendan Rodgers menandatangani kontrak baru dengan Leicester City sehingga Jun 2025, demikian kelab itu mengesahkannya.

Rodgers dilantik oleh The Foxes pada Februari lalu dan sejak itu, dia telah mencatat 17 kemenangan dalam 26 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Leicester menyerlah pada musim ini apabila menduduki tangga kedua liga, lapan mata mengekori kedudukan pendahulu, Liverpool, yang belum mengalami kekalahan.

Rodgers berkata: "Apabila saya membuat keputusan untuk datang ke Leicester City, ia adalah kerana saya teruja dengan hala tuju kelab dan bagaimana saya boleh menggunakan pengalaman yang dimiliki untuk ke arah itu.

"Saya datang ke sini dengan tujuan untuk menambah sesuatu kepada hasrat itu dan membantu kelab ini membina masa depan.

"Sokongan yang saya terima daripada Pengerusi, Khun Top (Aiyawatt Srivaddhanaprabha); Ketua Eksekutif, Susan Whelan; Pengarah Bola Sepak, Jon Rudkin, dan semua pihak di kelab ini begitu mengagumkan.

"Saya mewarisi pasukan kakitangan cemerlang yang berdedikasi untuk terus maju dan meningkat. Kami mempunyai sekumpulan pemain yang gembira untuk berusaha pada setiap hari.

"Bagi penyokong kelab pula, saya hanya boleh mengucapkan terima kasih kerana mengalu-alukan saya dan kakitangan saya ke kelab anda serta untuk menaruh kepercayaan terhadap tugas kami.

"Kami akan terus bekerjasama untuk membawa kejayaan ke Leicester City pada tahun-tahun akan datang."

Persembahan Leicester juga menyaksikan Rodgers dikaitkan dengan jawatan kosong di Arsenal, yang memecat Unai Emery minggu lalu.

Bagaimanapun, pengurus itu -- yang kontraknya sebelum ini bertahan sehingga 2022 -- menyatakan minggu ini bahawa dia "sangat gembira" di Stadium King Power dan pengerusi Leicester berkenaan teruja untuk mengikat pengendali berusia 46 tahun tersebut dengan lebih lama.

"Kualiti Brendan sebagai pengurus tersohor sudah cukup dikenali dan terbukti dalam menyerlahkan potensi setiap anggota muda skuad ini," kata Srivaddhanaprabha.

"Adalah penting bagi kami untuk bertindak seiring dengan falsafah yang diterapkan Brendan terhadap unsur-unsur budaya dan nilai-nilai penubuhan kelab ini.

"Dia dan kakitangannya pantas menyerlah dengan membina kesefahaman mengenai kelab dan bandar ini, itulah yang menjadikan mereka istimewa.

"Ia gabungan yang cukup berharga sepanjang sembilan bulan terakhir ini -- mengukuhkan hubungan antara pemain, kakitangan dan penyokong kami -- dan saya teruja untuk melihat bagaimana visi jangka masa panjang kami untuk terus berkembang."