HUDDERSFIELD 1 LEICESTER 4

Brendan Rodgers memuji persembahan Jamie Vardy selepas penyerang Leicester City itu meledak dua gol ketika membantu The Foxes meraih kemenangan 4-1 ke atas Huddersfield Town malam tadi untuk mengatasi rekod legenda kelab, Gary Lineker.


Sebelum ketibaan Rodgers penghujung Februari lalu, Vardy terpaksa menghadapi musim yang kurang konsisten.

Bagaimanapun, selepas meledak dua gol semalam, bekas pemain kebangsaan England itu telah menjaringkan enam gol dalam lima aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di bawah pimpinan Rodgers.

Jaringan keduanya ke atas The Terriers itu melonjakkan namanya ke tangga keenam senarai penjaring terbanyak kelab sepanjang zaman dengan 104 gol, mengatasi bekas bintang City, England, Tottenham dan Barcelona, Lineker.

Rodgers memuji pencapaian Vardy yang memiliki keazaman tinggi serta sikap profesional setiap kali turun beraksi.

"Lineker sentiasa akan menjadi salah seorang penyerang terbaik dunia tetapi saya sangat gembira bekerjasama dengan Vardy sejak saya pertama kali menjejakkan kali di kelab ini," kata Rodgers.

"Dia sentiasa dahaga untuk memperbaiki diri dan bermain dengan lebih baik. Pendekatan dan corak permainan pasukan membantunya.

"Memberikan tekanan sepanjang permainan dan menghasilkan peluang. Dia merupakan salah seorang penyerang terbaik liga. Dia telah membuktikannya."