Real Madrid lengkapkan perpindahan Hazard

Oleh Staff Writer 8 Jun 2019 4444
Real Madrid lengkapkan perpindahan Hazard
Eden Hazard telah melengkapkan perpindahannya daripada Chelsea ke Real Madrid.

Semalam, gergasi Sepanyol itu mengesahkan telah menandatangani bintang Belgium tersebut menerusi kontrak lima tahun.

Hazard merupakan sasaran jangka panjang buat Madrid dan selepas Piala Dunia tahun lalu apabila dia memberi bayangan untuk meninggalkan The Blues.

Namun, pemain berusia 28 tahun itu kekal di Stamford Bridge semusim lagi, membantu Chelsea menjulang trofi Liga Europa menerusi dua jaringan sewaktu menewaskan Arsenal dalam aksi final di Baku.

Selepas perlawanan itu, dia sekali lagi mendedahkan aksi itu bakal menjadi penampilan terakhirnya buat Chelsea.

Bekas bintang Lille itu membantu The Blues meraih dua gelaran Liga Perdana Inggeris dan Liga Europa serta Piala Liga dan Piala FA sepanjang tujuh tahun di England.

Dia menyertai Madrid, sekali gus melengkapkan pembentukan semula skuad oleh Zinedine Zidane setelah mendapatkan khidmat Rodrygo Goes, Eder Militao dan Luka Jovic ke Santiago Bernabeu.

Chelsea menjelaskan perpindahan itu kini hanya menunggu Hazard melepasi ujian perubatan bersama Madrid tetapi mengucapkan selamat maju jaya buat penggempur tersebut.

Pengarah Chelsea, Marina Granovskaia, berkata: "Walaupun sedih melepaskannya, kami mengucapkan selamat jalan buat Hazard. Kami telah meyakinkannya untuk kekal, namun menghormati keputusannya bagi mendapatkan cabaran baru di negara berbeza serta memenuhi impian sejak kecil untuk mewakili Real Madrid.

"Memori dia bersama kami tidak akan padam. Dia telah membuatkan sesiapa yang menonton Chelsea sebelum ini terhibur, memberikan sumbangan besar, jadi kami berterima kasih.

"Dia telah menjadi model profesional sepanjang berada di kelab ini, sangat mesra dan seronok bekerja dengannya. Kami sentiasa menerima dia sekiranya ingin kembali ke Stamford Bridge satu hari nanti."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen