CRYSTAL PALACE 0 EVERTON 0

Reaksi Wilfried Zaha untuk kekal di Crystal Palace mengagumkan pengurusnya, Roy Hodgson.


Pemain sayap itu masuk sebagai pemain gantian untuk beraksi selama 25 minit buat pasukannya dalam perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris ketika terikat 0-0 dengan Everton, yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Morgan Schneiderlin dilayangkan kad merah.

Arsenal dan Everton merupakan pasukan yang berminat untuk mendapatkan Zaha, 26, dalam jendela perpindahan lalu, dengan pemain itu meluahkan keinginannya untuk berhijrah.

Namun, selepas kekal di Selhurst Park apabila jendela perpindahan ditutup baru lalu, Zaha kembali beraksi dan menerima sambutan hangat daripada penyokong Palace apabila dia masuk ke padang, malam tadi.

"Saya fikir dia telah menanganinya dengan baik," kata Hodgson dalam sidang media selepas perlawanan.

"Penyokong membantunya.

"Amat baik apabila dia dapat diturunkan -- dan Connor Wickham juga.

"Saya fikir dua pemain di bahagian depan (Jordan Ayew dan Christian Benteke) turut melakukan tugas dengan baik, namun mereka agak keletihan.

"Saya hanya dapat bertemu dengannya kelmarin. Dia kelihatan baik.

"Dia amat cemerlang dalam bilik persalinan.

"Hakikatnya adalah situasi itu sudah berakhir.

"Saya pasti dia akan melupakannya untuk membantu kami memperoleh musim yang baik," katanya.

Ditanya sama ada terdapat kerisauan mengenai kehilangan Zaha apabila jendela perpindahan dibuka semula, Hodgson menjawab: "Kita berada di bulan Ogos! Anda bertanya kepada orang yang salah. Saya tidak risau mengenai Januari depan buat masa ini."

Bercakap kepada BBC Sport, pengurus itu menambah: "Dia beraksi baik, dia beraksi sebagaimana kami mahukan dia beraksi -- mencipta peluang, membantu peluang Max Meyer yang mungkin memberikan kemenangan kepada kami.

"Dia hampir membantu kami memperoleh tiga mata.

"Beberapa kali dia cuba melambungkan bola pada minit-minit terakhir.

"Dia agak berkarat, sudah pasti pemain yang tidak beraksi selama tiga minggu memerlukan masa untuk mencari prestasi sebenar.

"Dia satu fenomena sebagai seorang atlet apabila ia mengenai kecergasan, namun untuk memastikan dia berada di kapasiti sebenar, ia memerlukan satu atau dua minggu," katanya lagi.