Harry Kane telah disahkan sebagai penjaring gol kemenangan Tottenham Hotspur ketika menundukkan Stoke City selepas rayuan pasukannya diterima.

Jaringan itu pada asalnya diberikan kepada Christian Eriksen tetapi keputusan itu diubah oleh Panel Rayuan Akreditasi Jaringan liga.

“Selepas melihat testimoni dan mengkaji semula perlawanan itu, tiga panel telah mengesahkan jaringan itu milik Kane,” kata kenyataan daripada pihak Liga Perdana Inggeris.

Kane yang merupakan penyerang England telah memenangi anugerah Kasut Emas dalam dua musim terakhir dan kini meraih 25 gol bagi musim 2017/18.

Keputusan itu menyaksikannya berada di kedudukan kedua dalam senarai penjaring, empat gol ketinggalan kepada Mohamed Salah.

Spurs bakal melayani kunjungan pendahulu liga, Manchester City, di Wembley pada awal pagi Ahad ini.