Rashford yakin Solskjaer individu tepat bimbing United

Oleh Staff Writer 22 November 2019 282
Rashford yakin Solskjaer individu tepat bimbing United
Penyerang Manchester United, Marcus Rashford, berkata tiada pengurus lain yang lebih baik buat kelab itu selain Ole Gunnar Solskjaer walaupun The Red Devils dikaitkan dengan Mauricio Pochettino.

Minggu ini, Tottenham Hotspur memecat Pochettino dan menggantikannya dengan bekas pengendali United, Jose Mourinho, selepas Spurs hanya menang empat daripada 18 perlawanan terakhir dalam semua kejohanan.

Wujud laporan mendakwa Pochettino bakal mengambil alih tempat Solskjaer selaku pengurus United tatkala The Red Devils itu mengatasi Spurs dua mata selepas 12 perlawanan liga musim ini.

Bagaimanapun, Rashford -- yang menandatangani kontrak baru, Julai lalu -- berkata perancangan Solskjaer adalah faktor dia komited dengan masa depannya bersama kelab itu.

"Tiada keraguan apabila saya menandatangani kontrak baru," katanya.

"Begitu juga dengan Solskjaer. Saya boleh lihat perancangannya, hala tuju kelab yang ingin dibawa dan bagi saya, ia tidak perlu difikirkan.

"Kami di laman yang sama serta mahukan perkara sama buat kelab. Solskjaer adalah individu hebat dan kelab ini ada tempat dalam hatinya. Jadi, tiada individu lain yang lebih layak untuk jawatan ini, itu pendapat saya."

Dalam masa sama, Rashford mengakui dia tidak akan gembira jika United menamatkan musim ini dalam kelompok empat terbaik liga tetapi gagal meraih sebarang trofi.

The Red Devils tidak memenangi sebarang kejuaraan sejak menjulang Piala EFL dan trofi Liga Europa sewaktu musim pertama di bawah bimbingan Mourinho pada musim 2016-17.

Tatkala kejuaraan liga tampak sudah terlepas daripada jangkauan -- melihat pendahulu, Liverpool, sudah 18 mata mengatasi United selepas 12 perlawanan -- peluang Solskjaer untuk menjulang trofi hanya dalam saingan piala.

Wujud tekanan buat United untuk kembali ke pentas Liga Juara-Juara selepas gagal melayakkan diri musim lalu tetapi Rashford tidak fikir musim 2019-20 boleh dianggap berjaya kecuali jika mereka meraih salah satu daripada Piala EFL, Piala FA atau Liga Europa.

"Sudah sekian lama," katanya mengenai kemarau trofi buat United.

"Jika kami meraih kedudukan empat terbaik Liga Perdana Inggeris tanpa sebarang trofi, saya tidak akan gembira.

"Jika kami dapat menjulang beberapa trofi dan menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik, sudah tentu ia adalah musim cemerlang.

"Bagi saya, ia hanya perancangan untuk masa akan datang kerana saya sedar tempoh ini tidak akan selesai dalam hanya satu malam, begitu juga Solskjaer.

"Kami perlu luangkan masa dan bersabar. Selagi kami bersabar dan percaya apa yang dilakukan -- di mana saya fikir pasukan memberikan 100 peratus --- saya rasa kami akan dalam keadaan baik."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen