Ole Gunnar Solskjaer percaya Marcus Rashford mampu mengikut jejak langkah Cristiano Ronaldo dan Wayne Rooney apabila menyokong pemain sensasi Manchester United itu untuk muncul "pemain berkelas dunia".

Rashford berada di kemuncak prestasi berikutan meledak lima gol dalam tujuh perlawanan sejak Solskjaer menggantikan Jose Mourinho sebagai pengurus sementara di Old Trafford bulan lalu.

Penyerang berusia 21 tahun itu menandakan penampilannya yang ke-150 bersama United dengan menjaringkan gol kemenangan 2-1 ke atas Brighton & Hove Albion dalam pertemuan Liga Perdana Inggeris (EPL) kelmarin -- gol ke-41 pemain itu bersama The Red Devils.

Justeru, Solskjaer memuji pemain antarabangsa England itu dengan meletakkannya sebaris dengan pemain hebat United seperti Ronaldo dan Rooney.

"Dia baru berusia 21 tahun tetapi kematangan yang ditunjukkannya ketika ini menjangkaui usianya," kata Solskjaer.

"Jika anda melihat kepada statistik, saya diberitahu bahawa dia lebih muda daripada Ronaldo dan Rooney untuk mencapai 150 penampilan bersama Manchester United."

Apabila ditanya sama ada Rashford boleh mencapai tahap seperti Ronaldo dan Rooney, Solskjaer menambah: "Sudah pasti -- dia boleh menjadi pemain berkelas dunia.

"Semakin banyak jaringan anda, lebih tinggi keyakinan anda apabila diletakkan di posisi yang sama.

"Cara dia bekerja keras sepanjang minggu adalah mengagumkan kerana dia banyak melakukan latihan.

"Dia adalah pemain Manchester sejati. Anda tidak boleh menyekat dan menjatuhkannya. Dia akan berjuang untuk dirinya sendiri dan rakan sepasukan. Saya sangat gembira dapat bekerjasama dengannya."