Penyerang Manchester United, Marcus Rashford, mampu beraksi di mana-mana bahagian dalam tiga posisi serangan, menurut pengurus pasukan, Jose Mourinho.

Mourinho mempertahankan cara dia mengawal perkembangan Rashford ketika sidang media semalam tatkala penggempur England itu digantung daripada beraksi menjelang perlawanan menentang Watford, awal pagi esok.

Persoalan timbul mengenai posisi terbaik Rashford, selepas dia sering diletakkan sama ada di bahagian penyerang tengah atau sayap.

Mourinho percaya bahawa Rashford boleh beraksi dalam mana-mana peranan di tiga bahagian serangan dan menegaskan pemain sayapnya mempunyai kebebasan untuk masuk ke tengah padang.

"Untuk berada dalam sistem empat pemain, memiliki tonggak sayap, ia mungkin mengeluarkannya sedikit daripada posisi tetapi United menggunakan tiga pemain serangan," kata Mourinho.

"Apabila menggunakan tiga pemain serangan, mereka tiada pemain sayap. Mereka tidak beraksi terbuka dan ke tepi pada setiap masa.

"Mereka mempunyai kebebasan untuk beraksi di mana-mana bahagian dalam jentera serangan itu dan Rashford bagus dalam setiap posisi tersebut."

Mourinho juga berpendapat bahawa Rashford beraksi selaku penyerang tengah bersama England disebabkan oleh sistem yang dipertaruhkan oleh pengendali, Gareth Southgate.

"Saya rasa posisi yang diberikan kepadanya adalah berdasarkan sistem pasukan. Jadi, untuk pasukan kebangsaan, mereka bermain dengan lima pertahanan dan dua penyerang. Itu posisi untuknya.

"Dia tidak mampu beraksi selaku pertahanan sayap dalam sistem lima benteng kerana dia tidak boleh menggantikan Luke Shaw, Kieran Trippier atau Danny Rose. Dia harus beraksi di bahagian tengah dalam sistem tersebut."