Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, mahu Marcus Rashford untuk belajar menikmati situasi diejek penyokong lawan dengan menegaskan ia sebagai satu bentuk pujian.

Rashford diejek ketika United membenam Swansea City 4-0 di Stadium Liberty dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), kelmarin.

Penggempur berusia 19 tahun itu yang masih belum meledak sebarang gol musim ini terlepas peluang ketika berdepan situasi satu lawan satu dengan penjaga gol manakala rayuannya agar diberikan sepakan percuma tidak diendahkan pengadil, Jonathan Moss.

Begitupun, Mourinho berpesan agar pemain England itu menerima layanan seperti itu.

"Dia perlu belajar untuk menikmatinya (diberi perhatian)," kata Mourinho.

"Jika dia adalah pemain yang teruk, tiada siapa yang akan cuba membangkitkan kemarahannya. Mereka melihat kepantasan, ancaman dan mungkin mereka fikir ia boleh menjejaskan mereka.

"Jika dia berada di bangku simpanan dan dimasukkan dalam 20 minit terakhir, dia mungkin akan melakukan hal yang sama seperti pemain lain.

"Dia perlu menyesuaikan diri. Dia pemain muda Inggeris yang bermain untuk pasukan kebangsaan."

Rashford kemudian digantikan oleh Anthony Martial dan pemain dari Perancis itu sekali lagi menyerlah.

"Kami sempat berbincang mengenai masa depannya di sini dan saya fikir dia mempunyai hubungan yang baik di atas padang dengan Paul Pogba dan Romelu Lukaku," tambah Mourinho.

"Keyakinannya semakin meningkat dan dua kali dimasukkan dalam 20 minit terakhir permainan dengan menyumbang dua gol adalah bagus.

"Sudah tentu dia mahu diturunkan dalam kesebelasan utama, dipilih ke Piala Dunia bersama skuad kebangsaan. Ia bagus dan bagi saya mudah sahaja: saya tidak dapat mengharungi kempen EPL, Liga Juara-Juara dan merebut kejuaraan dengan 11 pemain. Saya perlukan sebuah skuad.

"Dia beraksi dengan sangat baik dan mungkin kumpulan pemain yang menggunakan bahasa Perancis seperti Paul, Romelu dan Marouane Fellaini membantunya.

"Dia lebih selesa ketika ini. Mereka membantunya dan prestasinya semakin meningkat."