Penyerang Manchester United, Marcus Rashford, bakal diketepikan buat sementara selepas mengalami kecederaan paha ketika tewas di tangan West Ham United, kata pengurus, Ole Gunnar Solskjaer.

Penggempur England, Rashford, terpaksa diusung keluar pada minit ke-61 sewaktu United tewas 2-0 sehingga memaksa Solskjaer menggunakan pemain tengah, Jesse Lingard, selaku penyerang tatkala Anthony Martial dan Mason Greenwood turut ditimpa kecederaan sebelum itu.

Solskjaer mengesahkan Rashford akan menjalani imbasan hari ini dan dia berharap menerima perkhabaran baik memandangkan pilihan terhad yang dimiliki di barisan depan susulan penghijrahan Romelu Lukaku dan Alexis Sanchez ke Inter Milan.

"Dia berasa sakit di bahagian paha," kata Solskjaer.

"Kami akan melakukan imbasan hari ini untuk mengetahui tahap kecederaan itu. Saya tidak tahu tempoh dia terpaksa diketepikan kerana saya bukan doktor. Namun, dia mungkin akan diketepikan buat seketika."

United akan berdepan Rochdale dalam saingan Piala EFL, Rabu ini sebelum melalui tiga perlawanan dalam tempoh tujuh hari menentang Arsenal, AZ dan Newcastle United.

Solskjaer menambah: "Diharapkan Greenwood dan Martial akan kembali sewaktu pertemuan dengan Arsenal dan sekurang-kurangnya salah seorang daripada mereka ketika berdepan Rochdale."

Kekalahan di tangan West Ham menyaksikan anak buah Solskjaer itu kini hanya mengutip lapan mata daripada enam perlawanan.