Arsenal bakal tanpa kehadiran dua tonggak tengah, Aaron Ramsey dan Mesut Ozil, dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) berdepan Leicester City di Stadium Emirates.

Ramsey dan Ozil tidak beraksi dalam saingan Perisai Komuniti berdepan Chelsea di Wembley semalam, di mana pemain baru Arsenal, Sead Kolasinac, menafikan gol pendahuluan Victor Moses untuk menjadikan kedudukan 1-1 selepas Pedro dilayangkan kad merah.

Perlawanan terpaksa diputuskan menerusi penentuan sepakan penalti, dengan Arsenal meraih kemenangan 4-1 selepas Thibaut Courtois dan Alvaro Morata gagal menyempurnakan sepakan masing-masing.

Wenger berharap kemenangan itu menjadi motivasi buat mereka menghadapi musim baru dan mengelak daripada melakukan kesilapan pada awal musim.

"Ozil tidak dapat beraksi kerana mengalami kecederaan di bahagian buku lali manakala Ramsey mengalami kecederaan di bahagian betis," kata Wenger.

"Buat masa ini, mereka memiliki peluang yang sangat tipis untuk beraksi pada Jumaat ini.

"Kemenangan ini merupakan satu lonjakan motivasi buat pasukan. Kami berjaya menewaskan Chelsea di Wembley dua kali - sebelum ini dalam final Piala FA, Mei lalu, dan Perisai Komuniti. Kami perlu menterjemahkan momentum ini dalam saingan liga pula."