Pemain baru Chelsea, Christian Pulisic, mahu mencapai tahap sama seperti bintang The Blues, Eden Hazard, bersama gergasi Liga Inggeris itu.

Pulisic, 20, bersetuju dengan nilai perpindahan yang dipercayai sekitar EUR64 juta (RM298 juta) daripada Borussia Dortmund, Januari lalu, sebelum menamatkan musim bersama kelab Bundesliga itu secara pinjaman.

Bintang Amerika Syarikat itu mungkin berpeluang untuk beraksi bersama Hazard walaupun bintang Belgium itu dikaitkan dengan jalan keluar dari Stamford Bridge.

Namun, Pulisic berkata dia mahu menyamai Hazard yang membantu Chelsea menjulang dua trofi liga, satu Piala FA, satu Piala EFL serta satu kejuaraan Liga Europa.

"Hebat menyaksikan apa yang dilakukan oleh Hazard. Dia adalah pemain yang boleh dijadikan contoh dan saya mahu menjadi sepertinya," kata Pulisic.

"Ternyata ia satu sasaran. Setiap pemain pastinya bodoh jika tidak mahu berada satu pasukan bersamanya."

Chelsea yang bakal berdepan Arsenal dalam aksi final Liga Europa 29 Mei ini telah menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tangga ketiga tetapi 25 mata di belakang pasukan tangga kedua, Liverpool.

Bagaimanapun, Pulisic percaya pasukannya mampu merapatkan jurang dengan The Reds serta juara, Manchester City.

"Kami adalah sekumpulan pemain yang penuh keyakinan," ujar Pulisic.

"Liverpool dan City adalah dua pasukan hebat yang melalui musim terbaik tetapi saya telah menyaksikan Chelsea bersaing dengan pasukan besar dan bermain dengan bagus.

"Kami mahu mara dengan mentaliti kemenangan dan bersaing bersama mereka."