Brighton and Hove Albion telah melantik Graham Potter sebagai pengurus baru menerusi kontrak selama empat tahun.

Warga Inggeris itu yang meraikan hari jadi ke-44 ketika tiba di Stadium Amex telah meninggalkan jawatannya di Swansea City semalam untuk menggantikan tempat pengendali yang dipecat, Chris Hughton.

Hughton kehilangan jawatannya walaupun mengemudi The Seagulls kekal dalam saingan Liga Perdana Inggeris dan mara ke separuh akhir Piala FA sebelum Potter pantas muncul sebagai calon pengganti.

Brighton dilaporkan akan membayar jumlah pampasan berjumlah GBP2 juta (RM10 juta).

Potter berkata: "Saya tertarik dengan visi jangka panjang serta keinginan yang ditunjukkan oleh Tony Bloom, Paul Barber serta Dan Ashworth.

"Perancangan yang dimiliki untuk masa depan kelab ini menggembirakan saya. Saya teruja dan berbangga menjadi sebahagian daripadanya."

Ia merupakan jawatan pertama buat bekas pemain Stoke City dan West Bromwich Albion itu di pentas tertinggi selepas memulakan karier bersama kelab divisyen empat Sweden.

Potter tiba di Ostersunds pada 2010 dan melalui tiga kenaikan liga, termasuk kemenangan yang diingati ke atas Arsenal di Stadium Emirates ketika saingan Liga Europa sebelum berhijrah ke Wales pada 2018.

Dia menerima pujian selepas membawa Swansea ke tangga ke-10 liga serta suku akhir Piala FA dan dia menerapkan corak permainan menyerang ketika mengemudi pasukan.