Paul Pogba mungkin menimbulkan kemarahan pengurus Manchester United, Jose Mourinho, selepas berpendapat pasukannya patut sentiasa melancarkan serangan ketika beraksi di laman sendiri.

Untied diikat seri 1-1 oleh Wolverhampton Wanderers di Old Trafford kelmarin dan mereka kini lapan mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool, yang kini dikendalikan oleh Jurgen Klopp.

Pogba menjadi sasaran kritikan selepas mempamerkan aksi di bawah tahap sebenar setelah bergelar juara Piala Dunia bersama Perancis tatkala Mourinho menafikan memiliki masalah dengan pemain tengah itu.

Namun, Pogba menuntut agar United yang kini menduduki tangga ketujuh liga agar tampil lebih agresif apabila beraksi di laman sendiri.

"Kami patut beraksi lebih baik ketika berdepan Wolves," ujar Pogba.

"Ini adalah Old Trafford. Kami berada di sini untuk menyerang. Saya rasa pasukan lawan akan gentar apabila melihat United terus melakukan serangan bertubi-tubi.

"Aksi kelmarin adalah kesilapan kami. Kami melalui tiga aksi di laman sendiri dan hanya mengutip empat mata. Ia tidak cukup.

"Mungkin disiplin perlu lebih tinggi dan kami harus bermain dengan lebih kemas kerana kami berada di Old Trafford. Kami harus terus menyerang dan memberi tekanan, sama seperti sewaktu menentang Tottenham Hotpsur, Liverpool, Chelsea and Arsenal musim lalu. Ia memudahkan kami."

Sebelum ini, Pogba mengeluarkan kenyataan selepas aksi pertama di mana mereka menewaskan Leicester City 2-1 apabila mendedahkan dia tidak boleh berlaku jujur kepada dirinya atau dia mungkin dikenakan tindakan oleh pihak kelab.

Namun, bintang tengah itu memberi bayangan bahawa dia tidak gembira dengan corak permainan Mourinho selepas rentetan tiga kemenangan yang dilalui United dalam semua kejohanan berakhir walaupun dia juga bersetuju dengan pendapat pengurus dari Portugal itu bahawa barisan pemain United tidak menunjukkan keinginan yang tinggi.

"Saya tidak boleh memberitahu anda kerana saya seorang pemain," kata Pogba ketika ditanya mengapa United dilihat tidak memberi cabaran getir buat Wolves.

"Saya bukan pengurus dan tidak boleh bercakap tentangnya tetapi jelas sekali kami harus menampilkan lebih banyak pilihan permainan. Saya tidak boleh terangkan kerana saya seorang pemain. Itu cara saya berfikir. Kami harus lebih banyak bergerak.

"Benar, mungkin kami harus menunjukkan lebih keinginan. Kami juga mungkin sedikit penat selepas melalui aksi Liga Juara-Juara Eropah menentang Young Boys. Mungkin Mourinho betul.

"Kami tidak kalah tetapi saya rasa kami patut menang. Kami di laman sendiri dan harus mendapatkan tiga mata.

"Kami sudah beraksi enam kali dalam saingan liga. Ia tidak perlu dirisaukan tetapi harus terus mendekatkan diri. Ia akan menjadi lebih baik."