MANCHESTER UNITED 2 WEST HAM 1

Paul Pogba mengakui Manchester United berada di bawah prestasi sebenar ketika menundukkan West Ham dalam Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi, sambil menegaskan pasukannya itu perlu bangkit sebelum bertandang ke Barcelona bagi suku akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah, Rabu ini.


United bernasib baik untuk meraih kemenangan 2-1 di Old Trafford awal pagi tadi dengan pemain tengah, Pogba, menjaringkan dua sepakan penalti masing-masing dalam setiap separuh masa.

Felipe Anderson menjaringkan gol di antara dua jaringan Pogba itu dan West Ham berkemungkinan memenangi perlawanan tersebut andai percubaan mereka tidak terkena palang dan usaha yang dilakukan Michail Antonio tidak diselamatkan penjaga gol United, David de Gea.

Pelawat, bagaimanapun, terpaksa pulang dengan tangan kosong apabila Ryan Fredericks menjatuhkan Anthony Martial dalam kawasan penalti untuk Pogba menyudahkan peluang itu pada minit ke-80.

Kemenangan itu meletakkan skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer berkenaan hanya ketinggalan dua mata di belakang pasukan di tangga keempat, Chelsea, selain memberikan momentum kemenangan untuk menterbalikkan defisit 1-0 di Camp Nou, Rabu ini.

"Kami tidak beraksi baik, namun keputusan perlawanan memihak kami," katanya kepada BT Sport.

"Ia perlawanan yang amat terbuka, namun kami tidak beraksi baik.

"Dengan peluang dan ruang yang kami peroleh, mungkin kami terlalu perlahan dan tidak berbahaya.

"Kami perlu memperbaikinya, belajar daripada kesilapan dan fokus untuk perlawanan yang akan datang.

"Saya tidak dapat menjelaskan tentang kepenatan kami dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.

"Kami perlu berehat untuk menhadapi perlawanan Selasa (awal pagi Rabu) ini," katanya.

Pogba menjaringkan gol penalti pertamanya pada minit ke-19 selepas melakukan acahan sebagai penyudah yang kelihatan ortodoks.

"Apa yang penting saya menyepak bola itu ke arah jaring, itu sahaja.

"Mungkin saya memperdayakan penjaga gol, namun apa yang penting adalah tiga mata yang diraih kami hari ini.

"Saya berasakan kami bernasib baik dan ia perlu dimanfaatkan.

"Adakalanya ia memihak pasukan lawan, namun kami meraihnya hari ini," tambahnya.