Pemain tengah Manchester United, Paul Pogba, berasakan sistem dan taktikal Jose Mourinho menyukarkan dirinya untuk menyerlah di atas padang.

Mourinho dipecat United bulan lalu ekoran kekalahan 3-1 kepada Liverpool, perlawanan yang menyaksikan Pogba sekadar memanaskan bangku simpanan, sebelum Ole Gunnar Solskjaer mengambil alih selaku pengendali sementara.

Hubungan di antara Pogba dan Mourinho agak tegang ketika mereka mengharungi krisis sejak permulaan musim ini sebelum mereka gagal mencapai persetujuan hingga menjejaskan bilik persalinan United.

Sejak Mourinho tidak lagi bersama United, prestasi Pogba meningkat secara mendadak, menjaringkan empat gol dan melakukan beberapa bantuan jaringan.

Dalam lima perlawanan liga di bawah kendalian Solskjaer, pemain kebangsaan Perancis itu menjelaskan kebebasan yang diberikan di atas padang membantu meningkatkan persembahannya.

"Saya gemar bermain dalam perlawanan besar berdepan pemain-pemain terbaik," kata Pogba. "Ia membantu pasukan untuk meningkatkan lagi mutu permainan dan meraih lebih banyak pengalaman.

"Mengatasi Spurs sangat penting kerana kami benar-benar berazam untuk memenangi perlawanan tersebut.

"Saya sedang menikmati bola sepak ketika ini. Sukar untuk beraksi dalam sistem dan taktikal sebelum ini. Kami mahu menyerang dan memberikan tekanan kepada lawan.

"Ketika saya perlu bertahan, ia bukan kemahiran terbaik saya. Saya lebih selesa menyerang.

"Itu perkara yang diberitahu kepada saya oleh Solskjaer. Masuk ke dalam kotak penalti kerana anda boleh menjaringkan gol jika berada dalam kotak penalti.

"Contoh terbaik adalah Frank Lampard. Jika saya boleh mengikuti cara permainnnya, saya akan menjaringkan gol. Ia hanya akan hadir jika saya diberikan kebebasan, kepercayaan pengurus dan pemain-pemain.

"Gandingan Nemanja Matic dan Ander Herrera membantu saya. Saya mengetahui dengan kehadiran mereka, ia memudahkan saya menyerang."