Marcus Rashford dan Paul Pogba berkongsi tugas untuk menyempurnakan sepakan penalti buat Manchester United, kata pengendali, Ole Gunnar Solskjaer.

Ketika United diikat 1-1 oleh Wolverhampton Wanderers dalam aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi, Pogba meraih sepakan penalti selepas dijatuhkan oleh kapten, Conor Coady.

Selepas melakukan perbincangan siapa yang bakal mengambil tugasan tersebut, Pogba memilih untuk melakukan sepakan tetapi usahanya dinafikan oleh Rui Patricio.

Rashford menyempurnakan sepakan penalti dalam kemenangan 4-0 ke atas Chelsea, minggu lalu dan penyerang itu mempunyai rekod 100 peratus dalam melakukan tugasan tersebut.

Namun, di Molineux, penyerang England itu memberikan bola kepada Pogba yang kini gagal menyempurnakan empat sepakan penalti sejak sepak mula musim lalu.

"Disebabkan dua orang pemain ditugaskan untuk mengambil sepakan penalti, terserah kepada mereka untuk menentukan ia milik siapa," kata Solskjaer.

"Kadangkala, pemain berasa sangat yakin untuk menjaringkan gol. Pogba banyak menghasilkan jaringan buat kami tetapi penjaga gol bertindak cemerlang menafikan sepakan itu.

"Mereka yakin. Minggu lalu Rashford menyempurnakannya dan dia pasti mahukannya tetapi Pogba juga begitu. Saya sukakan keyakinan itu."

Rashford juga memberikan tugasan itu kepada Pogba ketika dilihat menerusi kamera televisyen tetapi kini United terlepas peluang untuk menduduki tangga teratas Liga Perdana Inggeris selepas dua perlawanan.

"Pogba mahu mengambilnya, mudah," ujar penyerang itu.

"Semua orang berkemungkinan gagal menyempurnakannya tetapi Pogba telah menjaringkan banyak gol buat kami dan di sepanjang kariernya, ia normal. Kini, kami lupakannya dan akan meneruskan cabaran.

"Ia mudah, jika anda mahu mengambil sepakan itu, lakukan. Saya menyempurnakannya minggu lalu, jadi tiada masalah untuk dia mencuba. Malangnya, dia tidak menghasilkan gol tetapi inilah bola sepak.

"Keyakinan untuk menjaringkan gol sentiasa sama. Kami berlatih sepanjang minggu dan menyempurnakan majoriti daripadanya, jadi tiada alasan untuk tidak berasa yakin.

"Ia bukan tentang Pogba tetapi seluruh pasukan dan kami akan meneruskan cabaran dalam aksi seterusnya."

Dalam masa sama, tumpuan terarah kepada Daniel James setelah pemain sayap itu dilayangkan kad kuning akibat sengaja menjatuhkan diri dalam babak pertama tetapi Solskjaer mempertahankan pemain United itu.

"Saya tidak fikir ia patut kad kuning, saya tidak melihatnya," ujar pengendali dari Norway itu.

"Dia sangat pantas, ditendang beberapa kali dan ramai pertahanan yang menerima kad kuning ketika berdepan dengannya.

"Kadangkala, dia dipersalahkan walaupun ia tidak kelihatan begitu. Saya tidak fikir ia kad kuning ketika menyaksikannya."