Pertelingkahan melibatkan Paul Pogba dan Jose Mourinho ketika sesi latihan Manchester United sebelum ini adalah disebabkan oleh salah faham mengenai satu video Instagram, kata pemain tengah The Red Devils, Andreas Pereira.

Pengurus United dan tonggak tengah Perancis itu menjadi perhatian media bulan lalu selepas Sky Sports menayangkan video memaparkan mereka berdua seperti sedang berbalah mengenai sesuatu.

Pogba datang untuk menyapa barisan kejurulatihan serta pemain United yang lain tetapi kemudian dilihat memberi reaksi daripada apa yang dituturkan Mourinho dan laporan mengatakan bahawa pengurus itu bertanya tentang satu kiriman media sosial yang dikeluarkan sebaik sahaja United tewas penentuan sepakan penalti dalam aksi Piala EFL di tangan Derby County.

Insiden itu berlaku hanya sehari selepas Mourinho mengesahkan Pogba telah dilucutkan daripada jawatan pembantu kapten di Old Trafford.

Pereira akhirnya mendedahkan situasi sebenar melibatkan kedua-dua individu tersebut dengan memberitahu media Brazil, UOL Sport: "Kami sedang mendahului 1-0 ketika video itu dirakam.

"Kemudian, kami tewas dan orang ramai berkata Pogba melakukan kiriman itu selepas perlawanan tetapi sebenarnya, ia adalah sebelumnya.

"Pengurus menyangka Pogba melakukannya selepas perlawanan. Dia bertanya bagaimana situasi itu boleh berlaku. Terdapat sedikit ketegangan. Perkara ini sesuatu yang biasa di England tetapi saya tidak boleh lakukan apa-apa."

Hubungan Mourinho dengan pemain United menjadi perhatian musim ini tetapi Pereira yang telah tampil empat kali dalam semua kejohanan menegaskan dia tidak berdepan masalah dengan pengendali dari Portugal itu.

"Hubungan sentiasa baik, ia bagus," tambah Pereira.

"Saya juga memiliki hubungan yang sangat baik dengan Mourinho dan pemain-pemain lain juga begitu.

"Kami tidak memikirkan tekanan yang datang dari luar. Semua orang berkata dia telah dipecat. Kami tidak berasa begitu.

"Saya jarang melihat media England dalam telefon bimbit, jadi saya tidak terpengaruh dengan perkara sebegitu.

"Dia adalah pengurus kami, kami memberikan seluruh hidup untuknya dan diri sendiri di atas padang. Semua orang kekal tenang, fokus dan gembira."