Paul Pogba melabel prestasi Manchester United ketika diaibkan dengan kekalahan 0-4 di tangan Everton hujung minggu lalu sebagai "kurang ajar".

United dibelasah Everton di Goodison Park untuk menderitai kekalahan kelima berturut-turut dalam kesemua kejohanan -- rekod terburuk sejak Mac 1981.

Selain itu, ia merupakan kemenangan terbesar Everton ke atas United dalam Liga Perdana di Goodison Park.

Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer, memberikan pandangan jujurnya selepas tamat perlawanan dengan mengakui dia tidak tahu sama ada pemainnya menjaga kepentingan untuk mewakili pasukan itu sambil mendedahkan sesetengah daripada mereka tidak lagi mempunyai masa depan di Old Trafford.

Pogba merupakan salah seorang pemain yang mengundang kritikan selepas memaparkan aksi kurang bersemangat di bahagian tengah walaupun dia menyedari prestasi keseluruhan United itu tidak dapat diterima.

Ketika ditanya oleh Sky Sports tentang apa yang tidak kena dengan pasukannya, Pogba menjawab: "Saya harap saya tahu. Ia tentang keperincian dan keinginan.

"Kita bercakap tentang keinginan dan segala yang kami ada ketika pengurus tiba.

"Apa yang kami paparkan di sana, ia separti pasukan lain dan ia tidak bagus.

"Ia tidak bagus buat Man United, untuk cerita berkaitan kelab dan penyokong.

"Ia tidak bagus langsung tentang apa yang telah kami lakukan.

"Tewas dalam perlawanan merupakan sesuatu yang terburuk dan tidak mahu kami lakukan ketika sedang merebut kedudukan empat teratas dan kemudian tewas 0-4.

"Bukan kurang ajar dan saya bukan tidak menghormati Everton, namun dengan cara permainan seperti itu, prestasi saya, pasukan dan semua orang adalah kurang ajar.

"Kami tidak menghormati diri kami, kelab ini dan penyokong.

"Segala-galanya menjadi salah, namun apa yang paling utama adalah mentaliti kami di atas padang dan ia tidak berubah.

"Kami tidak boleh mengingati apa yang telah terjadi sebelum ini kerana ia hanya akan mendatangkan sakit kepala.

"Anda perlu memikirkan tentang perlawanan akan datang dan melakukannya dengan lebih baik lagi.

"Kami membiarkan pengurus untuk bercakap (selepas perlawanan), pegawai juga bercakap dan mereka memperkatakan sesuatu yang benar.

"Mereka bercakap mengenai apa yang berlaku dalam perlawanan dan kami tidak menghormati diri kami sendiri.

"Apa yang kami lakukan di atas padang amat kurang ajar untuk rakan sepasukan, untuk pegawai pasukan, untuk penyokong, kitman dan semua orang.

"Demi tugasan, mereka meletakkan hidup mereka kepada kami, buat pasukan ini dan kelab ini.

"Apa yang telah kami lakukan di atas padang tidak menggembirakan mereka dan disebabkan itu, kami amat marah dengan diri kami sendiri.

"Kami mahu melakukan yang lebih baik dan sudah pasti kami perlu melakukannya.

"Apabila anda menyarung jesi pasukan ini, ia kerana anda layak untuk memakainya. Namun, selepas anda layak memakainya, anda perlu bekerja keras dan menghormati budaya, sejarah dan memberikan segala-galanya di atas padang.

"Saya tidak mahu berkata kasar, namun kami tidak mahu melihat aksi (Ahad lalu) berulang kerana lenggok badan yang dipamerkan tidak cukup bagus untuk menyarung jersi ini," katanya.

United akan berdepan Manchester City dalam 'derby' Manchester, awal pagi Khamis ini.

City hampir pasti akan mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris andai meraih mata penuh di Old Trafford.