Paul Pogba berikrar untuk mencurahkan segala-galanya buat Manchester United tetapi enggan memberi jaminan mengenai masa depannya di sana.

Pogba memberikan sepasang bantuan gol ketika United mengalahkan Chelsea 4-0 awal pagi tadi untuk memulakan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kemenangan bergaya di Old Trafford.

Ia menawarkan situasi sebaliknya yang sering menyelubungi skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer itu dalam kempen pramusim mereka, lebih-lebih lagi pemain tengah itu, yang sering menjadi bualan utama pada Jun lalu mencetuskan spekulasi apabila menyatakan keinginannya untuk mengharungi cabaran baru.

Real Madrid kerap dikaitkan dengan pemain Perancis berusia 26 tahun berkenaan walaupun perhatian mereka kini beralih kepada Donny van de Beek berikutan harga yang dipinta Ajax dianggap jauh lebih rendah.

"Saya sentiasa memberikan aksi terbaik apabila saya diturunkan kerana saya melakukan apa yang digemari, itu adalah tugas saya," kata Pogba kepada RMC Sport.

"Saya akan berikan aksi terbaik setiap kali saya berada di padang.

"Itu adalah janji saya tetapi biarlah masa yang akan menentukan mengenai masa depan saya kelak.

"Perkara ini akan kekal menjadi persoalan dan setakat ini, saya masih di Manchester.

"Saya seronok dengan rakan sepasukan, saya sentiasa mahu memenangi perlawanan.

"Saya akan sentiasa bersungguh-sungguh ketika di atas padang."

Solskjaer tetap teguh menyatakan sokongan kepada Pogba sambil menawarkan pandangan mengenai kemampuannya.

"Paul boleh memainkan banyak peranan. Dia boleh beraksi sebagai pemain tengah menyerang dan hari ini, dia lebih banyak bertindak sebagai sandaran hantaran," kata pengurus United, Solskjaer.

"Apabila anda memiliki Victor Lindelof, Harry Maguire dan David De Gea di bahagian belakang, mereka boleh menyalurkan bola, jadi dia akan menerimanya di kedudukan yang baik.

"Dalam separuh masa pertama, dia diminta untuk membantu pertahanan kerana saya fikir Chelsea mencetuskan beberapa masalah kepada kami tetapi kami cergas, begitu juga dia.

"Hantarannya untuk gol ketiga adalah hebat, termasuk larian dan hantarannya untuk mencipta gol keempat, saya mahu dia terus bermain seperti itu."

Tambah pengurus dari Norway itu: "Saya sering mengatakan bahawa dia seorang pemain berkelas tinggi, dia seorang yang profesional. Dia gemar bermain, sama ada dalam latihan, perlawanan tertutup ataupun di Old Trafford.

"Dia bertambah bagus sejak tiba di sini, dia merupakan pemenang Piala Dunia. Dia mengharungi kerjaya yang baik dan dia hanya mahu beraksi.

"Dia memiliki keyakinan dan gemar menguasai bola. Ya, dia beberapa kali kehilangan bola tetapi berusaha merampasnya semula dan meneruskan permainan."