Jose Mourinho menggesa pemain tengah Manchester United, Paul Pogba, agar memahami peranannya ketika membantu Perancis menjulang Piala Dunia.

Aksi cemerlang Pogba membolehkannya menjaringkan gol ketiga Les Bleus pada Ahad lalu untuk menundukkan Croatia 4-2 bagi melengkapkan kempen gemilang di Russia.

Pemain berusia 25 tahun itu melangkah ke kejohanan itu dalam keadaan dihimpit kontroversi susulan layanan yang diberikan oleh Mourinho ketika di Old Trafford musim lalu.

Dia hanya diletakkan di bangku simpanan ketika kedua-dua aksi pusingan kedua Liga Juara-Juara Eropah menentang Sevilla yang menyaksikan United tewas, sebelum dikeluarkan sewaktu kekalahan di tangan Tottenham Hotspur dan Newcastle United, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai hubungannya dengan pengurus itu.

Ketika bercakap dalam sidang media pertama United dalam siri jelajah ke Amerika Syarikat, Mourinho mengesahkan dia telah mengucapkan tahniah kepada Pogba dan memuji persembahannya di sepanjang kejohanan itu.

Kini, pengendali skuad The Red Devils itu berharap agar pembelian termahal kelab itu mempunyai kesedaran untuk meneruskan kecemerlangan itu ke Liga Perdana Inggeris.

"Saya berharap dia faham mengapa dia sangat bagus," kata Mourinho.

"Saya rasa itu adalah faktor kepada kecemerlangan dan sumbangan yang dilakukan untuk pasukannya meraih kejuaraan, memahami mengapa diri dia begitu bagus, terutamanya ketika memasuki peringkat kedua Piala Dunia.

"Dalam suku akhir, separuh akhir dan final, dia ternyata begitu hebat."

"Memenangi Piala Dunia tentunya sesuatu yang positif. Sukar untuk mengatakan bahawa memenangi Piala Dunia tidak memberikan kebaikan buat karier pemain. Tidak semua pemain yang bagus berpeluang untuk bergelar juara dunia.

"Ia adalah skuad Perancis yang muda, bermula dari Olivier Giroud, Hugo Lloris serta kelompok pemain yang begitu muda dan masih berpeluang untuk beraksi bersama dalam masa beberapa tahun lagi.

"Masa depan Pogba dalam pasukan kebangsaan bersama kelompok itu jelas sangat hebat."

Tatkala aksi liga bermula kurang dari empat minggu lagi, Mourinho mengesahkan bakal pasangan Pogba di bahagian tengah, Fred, akan menyertai skuad United di Amerika Syarikat pada minggu depan bersama-sama David De Gea dan Nemanja Matic, namun pemain muda yang baru tiba dari FC Porto, Diogo Dalot, hanya akan beraksi pada September akibat kecederaan lutut.

Bagaimanapun, Mourinho tidak pasti sama ada akan ada nama baru yang menyertai United sebelum bermula saingan musim 2018/19.

"Saya tidak tahu. Saya tidak akan berbohong kepada anda.

"Saya tidak mengatakan sesuatu akan berlaku atau seseorang akan tiba dan begitu juga sebaliknya. Saya benar-benar tidak tahu."