Jurulatih Perancis, Didier Deschamps, menggesa Paul Pogba agar melupakan masalahnya di Manchester United dan memberi tumpuan kepada perlawanan persahabatan antarabangsa yang akan datang.

Pogba mengalami tempoh paling sukar sejak kembali ke United dari Juventus dengan yuran £89 juta (RM488.9j) pada awal Ogos 2016.

Pemain berusia 25 tahun itu diturunkan dalam kekalahan Liga Perdana kepada Tottenham Hotspur dan Newcastle United sebelum diketepikan daripada kesebelasan utama ketika tunduk kepada Sevilla dalam Liga Juara-Juara dan kemenangan suku akhir Piala FA ke atas Brighton & Hove Albion.

Deschamps mengakui Pogba mungkin tidak menikmati detik manis di Old Trafford pada masa ini, namun menuntut tumpuan untuk menghadapi Colombia dan Russia, bulan ini.

"Ia bukan kes istimewa, sering kali ia berlaku ketika membabitkan panggilan skuad kebangsaan, ada pemain yang dipertikaikan atau sedang melalui situasi tertentu di kelabnya," katanya dalam sidang akhbar.

"Ia boleh terjadi ke atas Paul, di mana-mana sahaja, kepada sesiapa pun dan pada masa berbeza. Begitupun, saya akan lakukan seperti apa yang saya lakukan: Saya akan bercakap dengannya supaya memahaminya kerana saya tidak mempunyai semua maklumat perkembangannya.

"Tetapi, itulah yang saya katakan kepada mereka: apa yang berlaku pada hujung minggu lalu dan sebelum ini tiada dalam agenda ketika ini. Kami perlu memberi tumpuan kepada aksi dengan Russia dan Colombia. Itu sebahagian daripada tugas saya sebagai jurulatih.

"Jelas sekali, dia tidak gembira dengan situasi ini selepas segala usaha yang diberikan. Mungkin terdapat banyak sebab yang berbeza-beza, dia tidak boleh berasa gembira dengan apa yang dilalui dengan kelabnya," katanya.

Penyerang Barcelona, ​​Ousmane Dembele, kembali tersenarai selepas tampil baik dalam beberapa perlawanan di bawah asuhan Ernesto Valverde, beberapa minggu kebelakangan ini.

Pemain berusia 20 tahun itu tidak terlibat bersama skuad kebangsaan pada hujung tahun lalu kerana bergelut di Barca sejak ketibaannya dari Borussia Dortmund pada Ogos, sebelum dilanda kecederaan hamstring serius yang menyaksikan dia terlepas aksi kelayakan Piala Dunia menentang Bulgaria dan Belarus selain kemenangan ke atas Wales dalam aksi ujian.

Deschamps gembira dengan prestasi semasa Dembele, namun menggesanya supaya lebih tajam di depan gol.

"Musim panas adalah rumit untuknya yang menyebabkannya tersisih hingga September," katanya. "Itu sebelum kecederaannya, maka ia menambah bebannya.

"Dia bangkit dan diberi peluang dalam beberapa perlawanan, persembahan terbarunya membuktikan dia telah menjumpai sentuhannya.

"Jika dia menjaringkan gol dan mencipta peluang, ia lebih baik. Ia tidak sentiasa berlaku, namun dia harus lebih tajam lagi," tambahnya.