Paul Pogba belum pasti cergas menjelang pertemuan di antara Manchester United dan Liverpool pada 20 Oktober ini selepas pengendali Perancis, Didier Deschamps, mendakwa pemain tengah itu akan diketepikan selama tiga minggu.

Pemenang Piala Dunia, Pogba, kembali selepas sebulan mengalami kecederaan buku lali dalam aksi Piala EFL menentang Rochdale, minggu lalu dan beraksi ketika seri 1-1 menentang Arsenal, Isnin lalu tetapi United mengetepikannya daripada skuad Liga Europa berdepan AZ Alkmaar, awal pagi tadi.

Pengurus The Red Devils, Ole Gunnar Solsksjaer, menyifatkan tindakan itu sebagai rawatan dan rehat dan rawa tetapi Deschamps mendakwa ia masalah baru sehingga terpaksa diketepikan sehingga bulan depan.

Pogba tidak disenaraikan dalam skuad Perancis bagi menghadapi saingan kelayakan Euro 2020 berdepan Iceland dan Turki.

"Ia masalah baru di bahagian buku lali," ujar Deschamps.

"Dia beraksi dalam Piala EFL dan berdepan Arsenal. Dia mengalami masalah sama semula yang memaksanya diketepikan selama tiga minggu.

"Saya lebih suka melihat dia ada bersama pemain lain, malangnya dia tidak berada dalam keadaan fizikal yang dimahukan."