Ole Gunnar Solskjaer optimis Paul Pogba akan kembali menyertai latihan penuh menjelang aksi berdepan Tottenham dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) hujung minggu ini.

Pemain tengah Perancis, Pogba, menikmati prestasi cemerlang sejak Solskjaer mengambil alih tugas pengendali daripada Jose Mourinho di Old Trafford, dengan menjaringkan empat gol dan tiga bantuan jaringan dalam empat aksi EPL.

Dalam aksi terbaru ketika mengatasi Newcastle United 2-0, Pogba telah diterjah oleh pemain tengah, Jonjo Shelvey, hingga terlepas kemenangan 2-0 ke atas Reading.

Ujian besar kini menanti United apabila bertemu Tottenham di Wembley, Ahad ini, dan Solskjaer menjangkakan Pogba akan menyertai kesebelasan utama berdepan Spurs.

"Buat masa ini, Marcos Rojo dan Fred tidak akan bersama pasukan," kata Solskjaer.

"Paul Pogba mengalami kecederaan dalam aksi terdahulu dan memerlukan beberapa hari lagi sebelum kembali pulih.

"Kami berharap dapat menurunkan Pogba dalam aksi berdepan Spurs," ujarnya.

Arsenal menjadi halangan seterusnya buat Solskjaer dan United dalam aksi pusingan keempat Piala FA dan beliau tidak sabar untuk menghadapi perlawanan tersebut.

"Ia amat bagus, kami memerlukan perlawanan ini. Pemain-pemain memerlukan perlawanan yang besar untuk mencabar kebolehan mereka.

"Ramai yang mengatakan kami telah memenangi lima perlawanan tetapi tidak berdepan lawan yang sukar. Spurs dan Arsenal akan menguji tahap sebenar United.

"Dan jika anda mahu memenangi Piala FA, anda perlu menewaskan semua pasukan."

United dan Arsenal seri 2-2 di Old Trafford dalam saingan EPL pada permulaan bulan lalu, dengan The Gunners mendahului permainan dua kali menerusi Shkodran Mustafi dan jaringan sendiri Rojo sebelum Anthony Martial dan Jesse Lingard mencari jalan memastikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.