Jose Mourinho berasakan Paul Pogba akan kekal bersama Manchester United musim depan selepas pengurus itu memberikan jaminan beliau atau kelab tidak berhasrat menjual bintang Perancis itu.

Pogba telah dikaitkan dengan perpindahan bersama juara Ligue 1, Paris Saint-Germain (PSG), selepas timbul laporan mengenai hubungan di antara pemain itu dan Mourinho mula goyah.

Dakwaan tersebut menyaksikan Pogba tidak berada dalam kesebelasan utama ketika United tewas kepada Tottenham pada Januari lalu -- Pogba juga tidak mengambil bahagian ketika mereka tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara (UCL) kepada Sevilla.

Bagaimanapun, Mourinho menegaskan beliau tidak memiliki sebarang perancangan untuk menjual Pogba.

"Saya berasakan dia akan bersama kami musim depan," kata Mourinho.

"Saya memberikan jaminan bahawa saya tidak mahu dia meninggalkan pasukan.

"Pada saya, Pogba akan kekal bersama kami," ujarnya.

Terdapat juga keraguan terhadap masa depan Marcus Rashford di Old Trafford ketika pemain berusia 20 tahun itu mencari pasukan yang membolehkan dia beraksi dalam kesebelasan utama.

Perbincangan mengenai pinjaman bersama kelab lain kini dibangkitkan, dengan Mourinho menolak cadangan itu dan menjelaskan pencapaian yang telah dilakukan oleh Rashford.

Tiada pemain United lain yang beraksi lebih kerap di bawa kendalian Mourinho selain Rashford, dia telah beraksi 102 daripada 117 perlawanan utama.

Rashford tampil dalam kesebelasan utama 16 kali daripada 33 perlawanan EPL musim ini dan menjaringkan enam gol.

"Apa yang diperlukan olehnya membuat saya tertarik, dia telah melakukannya. Ia adalah sebab mengapa dia dipilih dalam setiap perlawanan musim ini. Buat masa ini, dia tidak perlu mencari kelab lain."