Pengendali Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino, yakin bahawa Harry Kane akan kembali menemui sentuhan jaringan tidak lama lagi setelah penyerang itu gagal menghasilkan sebarang gol dalam lima perlawanan buat kelab dan negara.

Kane memulakan saingan musim ini dengan status pemenang Kasut Emas Piala Dunia dan tampak meneruskan kecemerlangan apabila menamatkan badi kebuntuan gol dalam bulan Ogos.

Pemain berusia 25 tahun itu tidak pernah mencipta jaringan dalam bulan pertama setiap musim sehingga dia menamatkannya ketika Spurs menundukkan Fulham 3-1 dan dia menggandakan jumlah gol ketika aksi bertemu Manchester United.

Bagaimanapun, sejak itu dia tampak buntu dan menuju ke aksi berdepan Brighton and Hove Albion pada awal pagi Ahad ini tanpa sebarang gol selama 427 minit tatkala dia turut mengalami kemarau jaringan sewaktu bersama England di peringkat antarabangsa.

Namun, Pochettino tidak mengendahkan situasi itu dan menjangkakan peledak utama itu bakal kembali meletakkan nama dalam senarai penjaring.

"Kane adalah salah seorang pemain terbaik yang kami miliki," kata Pochettino.

"Tidak syak lagi. Ia hanya tiga perlawanan dan tidak begitu teruk. Saya rasa semua penyerang mengalami situasi sama apabila tidak menyumbat gol.

"Disebabkan dia pemain penting kami, kami agak bergelut apabila dia tidak mencipta jaringan.

"Saya tidak ragu-ragu bahawa dia bakal beraksi lebih cemerlang selepas ini serta menjaringkan gol kerana dia adalah pemain hebat."