Mauricio Pochettino berang selepas ditanya sama ada Christian Eriksen sudah beraksi buat kali terakhir untuk Tottenham Hotspur setelah diletakkan di bangku simpanan ketika tewas 1-0 di tangan Newcastle United, awal pagi tadi.

Pemain Denmark itu telah meminta untuk meninggalkan kelab sebelum musim 2019-20 bermula selepas menarik minat Manchester United dan Real Madrid.

Bekas perancang Ajax itu tidak dinamakan dalam kesebelasan utama awal pagi tadi tetapi dibawa masuk pada minit ke-62 tatkala Joelinton menyumbat gol tunggal perlawanan, menyaksikan Spurs tewas di laman sendiri.

Ketika ditanya dalam sidang media, Pochettino berkata: “Saya tidak tahu (sama ada Eriksen telah beraksi buat kali terakhir buat Spurs).

“Mengapa anda bertanya kepada saya? Adakah anda tahu sesuatu? Ia satu situasi yang sukar.”

Apabila wartawan bertanya mengapa Eriksen tiada dalam kesebelasan utama, dia memberitahu: “Saya hanya boleh memilih 11 pemain. Saya faham soalan ini. Jika kami menang 3-0 atau 4-0, anda tidak akan bertanya soalan sama.”

Spurs dinafikan sepakan penalti di penghujung perlawanan selepas pengadil, Mike Dean, mendakwa Jamaal Lascelles terjatuh di dalam kawasan sendiri dan menyebabkan Harry Kane turut sama secara tidak sengaja.

Video Bantuan Pengadil (VAR) mempertahankan keputusan itu selepas teknologi tersebut membolehkan Spurs mengikat Manchester City 2-2 sebelum ini.

Ditanya mengenai insiden itu, Pochettino menambah: “Kini saya berpeluang untuk menyaksikannya tetapi saya percaya dan komited kepada penggunaan VAR.

“Apabila ia memihak kami, saya gembira dan jika bertentangan, saya menghormatinya tetapi tiada apa yang ingin diadukan.”