Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino, menegaskan dia tidak pernah meragui kebolehan Harry Kane sambil melabelkan penggempur itu sebagai pemain istimewa.

Kane melalui lima perlawanan tanpa sebarang jaringan buat kelab dan negara sebelum menjaringkan gol menerusi sepakan penalti ketika Spurs menewaskan Brighton and Hove Albion 2-1, semalam.

Pemain skuad kebangsaan England itu mempamerkan aksi memukau dalam beberapa musim terakhir dan setakat ini telah menghasilkan tiga gol bagi musim 2018/19.

Bagi Pochettino, dia tidak pernah mempersoalkan kemampuan pemain berusia 25 tahun itu.

"Bagi saya, Kane sentiasa berada dalam kalangan pemain terbaik. Dia merupakan salah satu tonggak penting dalam pasukan. Saya tidak meraguinya," kata Pochettino.

"Sentiasa ada jaminan untuk meletakkannya di atas padang kerana dia merupakan pemain istimewa.

"Bagi saya, dia adalah pemain istimewa bukan kerana dia menjaringkan gol. Ia tetap sama walaupun tidak meraihnya dalam beberapa perlawanan."

Dalam masa sama, Erik Lamela turut menunjukkan peningkatan apabila masuk sebagai pemain gantian dan menjaringkan gol kedua peribadi dalam saingan liga sebelum Spurs membiarkan lawan menyumbat jaringan menerusi Anthony Knockaert.

Pochettino ternyata gembira dengan perkembangan pemain Argentina itu.

"Saya berharap dia berasa baik dan mampu meningkatkan kualitinya setiap kali pasukan memerlukan.

"Saya gembira untuknya kerana ia adalah gol yang hebat. Dia melengkapkan gerakan sempurna daripada pasukan, sebab itu saya tersenyum."

Spurs kini menduduki tangga kelima liga, enam mata di belakang pendahulu, Liverpool.