Mauricio Pochettino menyalahkan pengadil perlawanan, Michael Oliver, yang mendakwa Song Heung-min melakukan simulasi ketika Tottenham Hotspur menewaskan Leicester City 3-1, malam tadi.

Walaupun Spurs memperoleh kemenangan selesa, mereka mungkin memenangi perlawanan itu dengan jaringan yang lebih besar andai Heung-min dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-16.

Pemain kebangsaan Korea Selatan itu dijatuhkan dalam kawasan penalti selepas dikasari Harry Maguire, namun Oliver mendakwa pemain itu melakukan simulasi sebelum melayangkan kad kuning.

Insiden itu tidak mengganggu kemenangan Spurs, namun Pochettino berang dengan keputusan yang dilakukan pengadil.

"Kamu rasa Sonny (Heung-min) layak mendapat kad kuning?

"Ia sukar dipercayai, amat-amat sukar untuk dipercayai.

"Apabila anda membandingkannya dengan sepakan penalti yang dikenakan kepada kami, ia amat sukar untuk dipercayai.

"Masalahnya di sini, saya pernah menyatakan kepada Oliver tentang situasi kami yang sepatutnya memperoleh sepakan penalti pada minit terakhir ketika menentang Liverpool (Heung-min dijatuhkan Sadio Mane). Ia mungkin tidak mengubah keputusan perlawanan, namun ia jelas sepakan penalti.

"Ia adalah pengadil yang sama, namun saya tidak tahu bagaimana dia menilai situasi kali ini.

"Ia amat menyukarkan. Saya adalah individu yang sentiasa menerima kesalahan, namun ia berlaku dalam situasi yang aneh.

"Ia dapat dilihat dengan jelas apa yang berlaku kepada Sonny, namun keadaan James Madison (pemain Leicester) tidak jelas sewaktu dia dijatuhkan ke lantai.

"Saya berasakan ia amat sukar untuk dipercayai. Saya masih tenang kerana kami memenangi perlawanan.

"Ia tiga mata yang amat penting, namun situasi itu benar-benar mengecewakan.

"Adakah anda fikir kami pasukan yang mahu menipu pengadil?

"Tolonglah, kami tak bersalah," katanya.