Harry Redknapp percaya terdapat sebab-sebab yang mencukupi untuk membolehkan Mauricio Pochettino menyertai Arsenal.

Pochettino dilucutkan jawatan pengurus Tottenham Hotspur semalam dengan Jose Mourinho diumumkan sebagai penggantinya selepas 12 jam pemecatan itu.

Dengan pergelutan yang sedang dialami Unai Emery di Arsenal, bekas pengurus Spurs, Redknapp, berasakan tiada sebarang sebab untuk jurulatih berbangsa Argentina itu tidak menyertai seteru London berkenaan.

Redknapp berkata kepada talkSPORT: "Dengan Pochettino meninggalkan Tottenham, akan ada satu, dua pengurus dalam Liga Perdana yang akan bangun pagi ini dan befikir, 'Oh tuhan, itu bukan tindakan yang bijak'.

"Dan akan ada beberapa pengerusi pasukan yang akan teruja untuk memikirkan cara bagi mereka mendapatkannya. Ia pasti pengambilan yang hebat.

"Terdapat kelab di London yang sedang mengalami waktu sukar.

"Kenapa dia tidak boleh ke Arsenal jika dia mahukannya?

"Anda fikir penyokong Arsenal tidak akan menggemarinya di sana?

"Ia sentiasa berlaku dalam bola sepak. Sol Campbell berpindah daripada Tottenham kepada Arsenal, George Graham pernah melakukannya, Terry Neill juga pernah melakukannya, Pat Jennings, salah seorang penjaga gol terbilang dalam sejarah kami, juga pernah melakukan perubahan itu.

"Ia boleh berlaku selagi anda mampu menggalas tugas itu.

"Saya fikir Arsenal sedang melihat Pochettino dan berfikir 'Bolehkah kita? Mampukah kita?' katanya.

Pochettino mungkin terpaksa memilih beberapa kelab utama di Eropah selepas memacu Spurs ke final Liga Juara-Juara Eropah musim lalu, dengan Bayern Munich, Real Madrid dan Manchester United dikaitkan sebagai pasukan yang berpotensi untuk mendapatkan pengurus itu dalam beberapa bulan ini.