Mauricio Pochettino menegaskan pemain-pemain Tottenham harus diangkat sebagai "wira" di sebalik kekalahn 2-1 kepada Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.

Lucas Moura kelihatan hampir membutirkan satu mata di Anfield buat pelawat selepas menafikan jaringan pembukaan Roberto Firmino, sebelum Toby Alderweireld menjaringkan gol sendiri pada minit ke-90, sekali gus menyaksikan Spurs berputih mata.

Keputusan itu menyaksikan Liverpool mendahului Manchester City dengan kelebihan dua mata di puncak liga sementara Spurs berkongsi mata dengan Manchester United, namun dibezakan dengan bilangan jaringan.

Pochettino tetap berasakan pujian harus diberikan kepada pemain-pemainnya yang berusaha untuk mencabar takhta liga sementara bakal tampil beraksi dalam stadium baru berdepan Crystal Palace, Rabu ini.

"Secara keseluruhan, saya berasakan kami lebih baik berbanding Liverpool," katanya.

"Saya agak kecewa. Sukar untuk menjelaskannya tetapi dalam masa sama, saya berbangga dengan prestasi pasukan.

"Kami telah berbincang dalam bilik persalinan: mengakhiri saingan dalam kelompok empat terbaik, separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) dan bakal tampil beraksi dalam stadium baru.

"Ia permulaan yang baru buat kami bermula Rabu ini. Segalanya dalam tangan kami untuk kekal dalam kelompok empat terbaik.

"Ketika perlawanan berbaki tujuh perlawanan dalam EPL, bersaing dengan Liverpool, Manchester City, Chelsea, Arsenal, Manchester United... pemain-pemain harus diberi pujian," katanya.