Mauricio Pochettino menegaskan Tottenham Hotspur membuat keputusan tepat tidak mendapatkan pengganti Kieran Trippier musim ini walaupun terpaksa meletakkan Moussa Sissoko di bek kanan.

Spurs melepaskan bek England, Trippier, ke Atletico Madrid tetapi memilih untuk tidak membawa masuk pemain baru di posisi itu.

Pochettino menegaskan dia mempercayai Serge Aurier, Kyle Walker-Peters dan Juan Foyth, yang sebelum ini beraksi selaku bek tengah dan mengalami kecederaan ketika pramusim.

Aurier diletakkan di posisi itu selama beberapa minggu tetapi dibuang padang ketika berdepan Southampton minggu lalu dan melalui detik sukar sewaktu Spurs dibelasah Bayern Munich 7-2 dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Pochettino menjelaskan: "Bola sepak adalah mengenai persekitaran dan prestasi pemain.

"Anda memiliki Walker-Peters dan Aurier serta pemain lain yang anda boleh gunakan, Foyth, yang telah beraksi dalam Copa America tetapi cedera ketika pramusim.

"Anda perlu melihat skuad dan kami mempunyai 11 pemain di barisan bawah.

"Aurier, Walker-Peters, Toby Alderweireld, Davinson Sanchez, Foyth, Eric Dier, Ben Davies, Ryan Sessegnon, Japhet Tanganga, Danny Rose dan Jan Vertonghen. Jawapan saya jelas?"

Walaupun mempunyai pilihan, pemain tengah, Sissoko, akan memperkuatkan barisan bawah di Brighton and Hove Albion selepas menggantikan Aurier susulan kad merah yang diterima dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

"Sissoko beraksi di situ menentang Southampton," tambah Pochettino.

"Apabila anda meneliti skuad dan pilihan yang ada, anda akan gunakan perasaan.

"Saya dapat lihat Sissoko beraksi sejam di situ dan dia beraksi dengan baik.

"Jika anda menyaksikan perlawanan itu, dia beraksi dengan cemerlang mengekang Sofiane Boufal dan Nathan Redmond. Usaha dan bagaimana kami gunakannya.

"Aurier digantung dan atas beberapa sebab, prestasi sesetengah pemain tidak meyakinkan anda, jadi anda gunakan persembahan minggu lalu. Sebab itu saya fikirkan untuk turunkannya di posisi itu."