Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino, mengakui kecewa dengan Persatuan Bolasepak (FA) England selepas mereka memohon maaf di atas tindakan mereka di media sosial hujung minggu lalu.

Satu entri Twitter daripada akaun rasmi FA mengejek penyerang Spurs, Harry Kane -- entri itu menyoal Chris Smalling dari Manchester United, "apa yang ada di dalam poket anda?" diiringi rakaman singkat pertahanan itu yang mengatakan, 'Harry Kane'.

Disebabkan itu, FA terpaksa memohon maaf kepada kedua-dua kelab di atas entri yang dimuat naik selepas pasukan Jose Mourinho itu menundukkan Tottenham 2-1 dalam separuh akhir Piala FA di Wembley.

Bercakap dalam sidang berita menjelang pertembungan Liga Perdana dengan Watford awal pagi Selasa nanti, Pochettino melabelkan kejadian itu sebagai "memalukan".

"Memang memalukan, bukankah begitu? Ini memalukan kerana FA adalah (penguasa) bola sepak Inggeris dan Harry Kane berpotensi menjadi ketua pasukan dalam Piala Dunia (Russia). Ia sukar difahami, sangat sukar dan mereka meminta maaf," katanya.

"Keadaan ini mengecewakan saya. Sebenarnya mereka telah memohon maaf selepas beberapa hari kejadian tersebut. Kami tidak mahu memperbesar-besarkannya tetapi itulah realitinya. Kami perlu melindungi aset kami, pemain Inggeris kami dan pemain muda kami.

"Harry sangat sedih tetapi mentalnya kuat. Dia melupakan kisah itu dan kami membantunya. Ia adalah satu kesilapan dan dia perlu bergerak pantas."

Pochettino turut mengakhiri spekulasi masa depannya berikutan timbul kebimbangan terhadap komen yang dibuatnya selepas kekalahan di Wembley hujung minggu lalu dengan menyatakan komitmen panjang bersama kelab itu.

"Ini usaha jangka panjang, kami menanam mentaliti yang sangat baik untuk cuba menang. Pertama, untuk mengurangkan jurang dengan empat teratas, banyak perkara hebat yang kami lakukan tetapi itu bukanlah bermakna kami tidak akan memenangi trofi di bawah kendalian saya kerana kontrak saya ada tiga tahun lagi. Apapun, saya memerlukan masa," katanya.

"Saya bekerja dalam setiap projek seperti saya akan terus berada di sini.

"Kami memerlukan masa untuk menang dan selepas tiga atau empat tahun, kami akan sebaris dengan kelab seperti United, (Manchester) City, Chelsea atau Liverpool tetapi masih ada tugas yang perlu dilakukan.

"Ini satu projek yang menarik, berbeza dengan kelab-kelab yang lain dan kami perlu meneruskannya.

"Kontrak saya masih panjang dan jelas sebarang keputusan terletak di tangan kelab atau pemilik saya, Daniel (Levy)."