Mauricio Pochettino telah mengesahkan komitmennya untuk jangka panjang bersama Tottenham Hotspur selepas menandatangani kontrak baru selama lima tahun.

Masa depan Pochettino menjadi persoalan selepas memberikan kenyataan bahawa Spurs mampu untuk bergerak tanpanya selepas melalui satu lagi musim tanpa sebarang trofi.

Bagaimanapun, bekas pemain pertahanan Argentina yang membawa Tottenham menamatkan tiga musim terakhir dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris itu mengesahkan dia akan mengetuai pasukan menuju ke stadium baru bagi musim 2018/19, sambil menyifatkan pengerusi kelab, Daniel Levy, menjadi kunci utama kepada persetujuannya.

"Saya berbesar hati menandatangani kontrak baru yang menjadi antara detik penting buat sejarah kelab dan menjadi pengurus yang akan mengetuai pasukan ke stadium bertaraf dunia," ujar Pochettino.

"Ini adalah faktor yang membuatkan pekerjaan ini sesuatu yang menyeronokkan dan kami telah menyiapkan perancangan bagi memastikan pembinaan pasukan diteruskan bersama semua pihak yang bersama kami dalam tempoh empat tahun terakhir.

"Levy dan saya telah berbincang mengenai aspirasi untuk kelab ini. Kami berkongsi falsafah untuk mencapai impian jangka panjang kerana kelab ini sangat istimewa," tambahnya.

Dalam masa sama, beberapa staf kejurulatihan seperti Jesus Perez, Miguel D'Agostino dan Toni Jimenez turut bersetuju dengan kontrak baru bersama Spurs, membuatkan Levy percaya masa depan Spurs tampak cerah bersama Pochettino yang tiba dari Southampton pada 2014.

"Kami berbesar hati dapat mencapai persetujuan dan memperbaharui kontrak dengan Pochettino.

"Laluan yang hebat telah kami lalui dan kini segalanya tampak semakin menarik tatkala kelab memasuki fasa baru dalam sejarah," ujar Levy.