Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino, menyifatkannya penyerangnya, Harry Kane, sebagai satu anugerah dan jaminan masa depan buat pasukan.

Kenyataan itu dibuatnya selepas penyerang England itu menjaringkan gol kemenangan Spurs ketika menundukkan Arsenal 1-0 bagi aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam, yang meningkatkan jumlah jaringan keseluruhannya kepada 23 gol musim ini.

Walaupun Kane dikaitkan dengan perpindahan ke Sepanyol selepas menarik perhatian Real Madrid, Pochettino berharap agar ayam tambatannya itu kekal bersama pasukan.

“Kane adalah satu anugerah dan dia jaminan masa depan kami. Segala perkara yang telah dikecapinya sangat hebat. Kami sangat gembira dan bangga dengan rekod miliknya,” kata Pochettino.

Pengurus dari Argentina itu juga gembira selepas mencatat tujuh mata hasil daripada tiga pertemuan berturut-turut menentang Manchester United, Liverpool dan Arsenal.

“Saya sangat gembira. Tiga kemenangan yang hebat diraih hasil daripada corak permainan yang mengagumkan.”

Kane yang terlepas dua peluang keemasan menerusi tandukan, turut gembira dengan tiga mata yang diraih di Wembley selepas Alexandre Lacazette mensia-siakan harapan untuk menyamakan kedudukan sebanyak dua kali.

“Sangat bagus apabila dapat menjaringkan gol. Saya menerima beberapa peluang menerusi tandukan tetapi satu daripadanya menghasilkan gol.

“Saya rasa kami layak meraikan kemenangan ini kerana kami sentiasa percaya jika kami terus bermain dengan bagus, peluang akan tiba,” ujar Kane.