Pochettino: Kane akan pecahkan semua rekod di England

Oleh Staff Writer 14 Januari 2018 183
Pochettino: Kane akan pecahkan semua rekod di England
Pengendali Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino, percaya Harry Kane akan memecahkan kesemua rekod di England selepas mencatat nama dalam sejarah pasukan ketika menewaskan Everton 4-0 di Stadium Wembley, awal pagi tadi.
 
Selepas mengatasi rekod jumlah jaringan Liga Perdana Inggeris (EPL) terbanyak dalam setahun milik Alan Shearer dengan 39 gol, Kane muncul penjaring terhebat sepanjang zaman dalam liga buat Spurs apabila mengatasi rekod 97 gol milik Teddy Sheringham.
 
Dua gol di Stadium Wembley membolehkan penyerang England itu kini mencatat 98 gol peribadi bersama Spurs, sekaligus mencipta satu sejarah baru pasukan.
 
“Dia sangat berbakat, profesional dan saya sangat gembira. Dia layak menerima pujian, tahniah,” kata Pochettino.
 
“Jika perkara ini berterusan, Kane akan memecahkan semua rekod dalam EPL serta England. Saya sangat gembira kerana dia membantu pasukan meraih kemenangan.”
 
 Rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman Spurs kini dipegang oleh Jimmy Greaves dengan 266 gol dan Pochettino tidak sabar untuk menyaksikan Kane berusaha untuk memecahkannya.
 
“Perjalanan masih jauh tetapi sesuatu yang bagus melihatnya mencipta rekod baru setiap minggu.”
 
Tottenham kini berkongsi mata bersama pasukan tangga keempat, Liverpool, dan hanya ketinggalan tiga mata di belakang juara bertahan, Chelsea, selepas The Blues terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 0-0 ketika bertandang ke Leicester City, semalam.
 
“Kini kami dibezakan dengan tiga mata daripada kedudukan Chelsea, Liverpool serta Manchester United, tetapi laluan masih panjang.
 
“Kami perlu konsisten untuk meraih kedudukan empat terbaik,” tambahnya.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen