Mauricio Pochettino menjangkakan 'musim paling sukar' sepanjang memegang peranan sebagai pengurus Tottenham Hotspur selepas mereka gagal membuat sebarang pembelian sebelum tempoh perpindahan tamat.

Spurs menduduki tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam musim ketiga berturut-turut tetapi masih kemarau untuk menjulang gelaran selepas kali terakhir melakukannya menerusi Piala Liga Inggeris (EFL), sedekad yang lalu.

Tatkala kelab besar yang lain mengambil kesempatan untuk memperkasakan skuad mereka sempena kempen baru, namun tiada muka baru yang tiba di Tottenham.

Malah, mereka juga belum dapat berpindah ke Stadium White Hart Lane yang berwajah baru seperti yang dirancangkan.

Faktor-faktor itu meningkatkan kepercayaan Pochettino bahawa dia bakal mengharungi kempen paling sukar sejak tiba di Tottenham pada 2014.

"Atas segala-galanya, bagi saya ini akan menjadi musim paling sukar dan saya fikir jika kami mahu melakar kejayaan, kami perlu memberi lebih daripada sekadar yang terbaik," katanya kepada pemberita.

"100 peratus belum memadai, ia memerlukan 200 peratus. Kami sedar ia akan menjadi sukar musim ini. Oleh kerana kami adalah pahlawan, maka kami mahu berjuang.

"Kami mahu menjadi sesuatu yang dibanggakan. Kami mahukan kejayaan dan kami tidak mahu mengadu atau mencipta alasan. Saya adalah seorang pemenang dan saya sukakan cabaran, sebab itulah saya berasa cukup bertenaga."

Pochettino menandatangani perjanjian baru dengan Tottenham pada Mei lalu dan menambah dia bersedia menghadapi cabaran yang dihadapi oleh kelabnya.

"Adalah mudah apabila segala-galanya berjalan lancar tetapi apabila musim sejuk tiba, tidak mudah untuk mengharunginya," ujarnya.

"Saya mahu berada di barisan hadapan, berjuang dan cuba untuk menang.

"Saya rasa bertanggungjawab untuk berada di sini dan itulah sebabnya saya berbuat demikian. Lagipun, saya gembira dan saya fikir Tottenham memberikan kami dan seluruh kakitangan segala-galanya, banyak perkara yang sentiasa kami syukuri.

"Ini adalah masanya untuk mengatakan bahawa 'kami akan bersama kamu semua, berjuang dalam keadaan ini' kerana kami tahu apa yang akan berlaku."