Pengendali Tottenham, Mauricio Pochettino, bimbang dengan kecederaan yang dialami Harry Kane pada penghujung perlawanan ketika tewas 1-0 kepada Manchester United di Wembley, awal pagi tadi.

Spurs gagal melunaskan peluang demi peluang terhidang di Wembley dan tewas dengan jaringan tunggal Marcus Rashford pada separuh masa pertama, dengan Kane merupakan antara pemain yang gagal menembusi gawang yang dikawal rapi oleh David de Gea.

Penjaga gol skuad Sepanyol itu menafikan 11 percubaan Spurs, termasuk beberapa percubaan Kane, sekali gus mengecewakan penyokong tuan rumah.

Ketika mereka melakukan asakan demi asakan mencari gol penyamaan, Kane terlibat dengan pelanggaran dalam kotak penalti yang menyaksikan dia mengalami kecederaan ringan.

Kane menerima rawatan penuh selepas tamat perlawanan tetapi kelihatan menggelengkan kepala dan menghadirkan kebimbangan ketika keluar padang.

Pochettino percaya penyerang England itu mengalami kecederaan buku lali sementara Son Heung-min meninggalkan pasukan untuk menghadapi saingan Piala Asia bersama Korea Selatan di Emiriah Arab Bersatu (UAE)..

"Kami agak bimbang mengenainya, kami akan lihat keadaannya dan berharap ia tidak terlalu serius," kata Pochettino.

"Kane mungkin mengalami kecederaan pada bahagian buku lali tetapi kami berharap ia tidak serius."

Di sebalik kekalahan dan kebimbangan mengenai kecederaan Kane, Pochettino berpuas hati dengan persembahan pasukannya dalam babak kedua sambil menganggap ia sebagai persembahan terbaik selama 45 minit sejak beliau menjadi jurulatih.

"Saya sangat gembira dan berbangga. Selepas empat tahun setengah tahun, ia merupakan persembahan separuh masa kedua terbaik Spurs yang pernah saya saksikan.

"De Gea telah menampilkan aksi bertaraf dunia. Ia merupakan perlawanan yang sengit dan kedua-dua pasukan berhak untuk menang."

Keputusan itu menyaksikan mereka ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool.