Pochettino gembira di Tottenham biarpun dikaitkan dengan Manchester United 

Oleh Staff Writer 8 Disember 2018 360
Pochettino gembira di Tottenham biarpun dikaitkan dengan Manchester United 
Mauricio Pochettino menegaskan dia  gembira dan dihargai di Tottenham di sebalik spekulasi yang mengaitkan pengurus Spurs itu akan menggantikan Jose Mourinho di Manchester United.

Pochettino dilaporkan muncul sebagai sasaran nombor satu United sebaik Mourinho meninggalkan Old Trafford biarpun ejen pengurus Portugis tersebut, Jorge Mendes, mendakwa Red Devils "sangat gembira" dengan kliennya itu. 

United mengumpul 18 mata dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mengharungi empat perlawanan tanpa kemenangan kebelakangan ini sementara barisan pemain Mourinho ketinggalan 10 mata di belakang Tottenham.

Pochettino, bagaimanapun, tetap komited dengan Tottenham yang melanjutkan kontrak pengurus berbangsa Argentina itu selama lima tahun lagi Mei lalu. 

"Perkara paling penting ialah saya sangat gembira di sini, saya fikir Tottenham telah memberikan saya sebuah nilai," kata Pochettino.

"Saya tidak tahu jawapan (sama ada spekulasi masa depannya akan berterusan ketika Spurs berjuang untuk bersaing merebut gelaran) tetapi saya berasa gembira di sini kerana saya berasa diiktiraf atas usaha kami.

"Ketika (Pengerusi Spurs) Daniel Levy melanjutkan kontrak saya selama lima tahun, itu kerana dia mempunyai kepercayaan dan keyakinan pada ketika itu bahawa kami adalah individu terbaik untuk mengendalikan kapal ini, kelab ini.

"Saya tidak perlu mengambil pusing mengenai apa yang berlaku dan apabila orang mengatakan 'kami adalah orang yang baik dan mungkin ada idea tentang bola sepak', perkara paling mustahak sekali adalah bagaimana untuk membuatkan orang seperti berada di kampung halaman sendiri." 

Sementara itu, Pochettino berkata wang bukanlah segalanya sambil membandingkan dana Tottenham dengan lawan yang bakal dihadapi malam ini, Leicester City, dengan Spurs ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu, Manchester City.

"Apabila anda membandingkan pelaburan atau bajet, kami berada dalam kedudukan yang sama seperti Everton, West Ham atau Leicester," kata Pochettino kepada pemberita.

"Sudah tentu kami berada jauh daripada pasukan gergasi seperti City atau United tetapi daripada segi mata, kami lebih dekat dengan mereka berbanding yang lain. Begitu juga dengan prestasi musim lalu, kami memungut banyak mata di sebalik bajet yang kami ada. 

"Bukan mudah untuk memperbaiki pasukan hanya dengan pelaburan. 

"Anda memerlukan masa untuk melabur, mencipta falsafah dan metodologi. Saya fikir apa yang Tottenham ada adalah idea yang jelas, maka anda perlu berusaha untuk memastikan pemain terbaik anda terus bersaing.

"Kadang-kadang wang akan membantu tetapi ia bukan perkara yang paling penting. Dan pada akhirnya, semua pasukan melabur, namun masih hanya sebuah pasukan yang akan menang."

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen