Mauricio Pochettino adalah pengurus terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL) sepanjang empat tahun lalu, kata rakan sejawatannya di Watford, Quique Sanchez Flores.

Dengan hanya mengutip tiga kemenangan dalam 11 perlawanan setakat ini, situasi itu membangkitkan persoalan mengenai masa depan Pochettino, hanya empat bulan selepas membimbing kelab itu ke final Liga Juara-Juara (UCL).

Spurs mengalami kekalahan besar kepada Bayern Munich dan Brighton & Hove Albion sebelum rehat antarabangsa dan akan menyambung aksi menentang Watford di tempat sendiri, malam esok.

Pengurus Watford itu cukup mengenali Pochettino ketika bersama-sama beraksi dalam saingan LaLiga dan menyanjung tinggi pengurus berbangsa Argentina itu sambil mengangkatnya melebihi Pep Guardiola dan Jurgen Klopp sejak kebelakangan ini.

"Saya menggemarinya. Pada pendapat saya, dia adalah pengurus terbaik Liga Perdana dalam tempoh empat tahun lalu," kata Flores dalam sidang media semalam.

"Kali terakhir ketika saya bersama Watford, saya menganggapnya sebagai pengurus terbaik berhubung caranya mengubah gaya dan permainan pasukan ini.

"Sudah tentu, ia adalah masa yang sukar baginya dan juga pasukan itu tetapi bagi saya, dia adalah pengurus terbaik Liga Perdana dalam empat tahun terakhir ini."

Tottenham kini di tangga kesembilan selepas lapan perlawanan musim ini.

Ditanya jika dia menjangkakan Pochettino akan menggalas jawatan di Tottenham untuk jangka masa panjang, Sanchez menambah: "Terserah kepada anda, kritikan, bukannya saya. Ia bergantung kepada keputusan. Keputusan akan membawa kepada kritikan."